Friday, October 29, 2010

Cabul Anak Sendiri


7 tahun dicabul bapa
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.
KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun anak saudara saya yang berusia 14 tahun dicabul bapanya sendiri, tapi baru kini rahsia itu terbongkar sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Rawang, Rabu lalu,” kata Kamisah Jamal, 31, ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang mendakwa dicabul bapanya sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, setiap hari mangsa sering bermuram kerana trauma dengan apa yang berlaku selain tidak menyangka bapa kandungnya yang juga penagih dadah tergamak mencabul kehormatannya sejak kecil.


“Melalui cerita anak saudara saya, dia memberitahu ketika berusia tujuh tahun, bapanya selalu bermain dengan kemaluannya dengan tangan tetapi sejak dua tahun lalu selepas cukup umur, bapanya semakin berani melakukan perkara yang lebih buruk.


“Bapa mangsa yang juga abang kandung saya, sering mengambil peluang menceroboh masuk ke bilik anaknya itu apabila semua ahli keluarga lain tidur dan ada kalanya pada sebelah pagi ketika ibunya pergi bekerja hingga dia tidak terdaya untuk melawan,” katanya ketika datang ke Balai Berita, semalam.


Menurutnya, kejadian itu berlanjutan menyebabkan anak saudaranya itu trauma.


“Selepas membuat laporan, saya membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan ada kesan menunjukkan anak saudara saya itu dicabul.


“Saya hanya mahu ayahnya ditangkap kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri,” katanya.


Akibat perbuatan terkutuk itu, anak saudaranya itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba membunuh diri.


Kamisah juga tidak berpuas hati apabila kakak iparnya merancang untuk menarik balik laporan yang dibuat kerana tidak mahu suaminya ditangkap.


“Saya hanya minta anak saudara dan dua adik perempuannya dilindungi bagi mengelak kejadian buruk berlaku.


“Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk dilalui,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kes cabul berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut sebelum melakukan sebarang tangkapan.

Thursday, October 28, 2010

Remaja Sekarang

Tiga remaja ditahan disyaki liwat kanak-kanak

PULAU PINANG 28 Okt. - Polis menahan tiga remaja berusia 13 tahun kelmarin, setelah disyaki meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di sebuah rumah pangsa di Bukit Gambir di sini, Ogos lalu.

Penahanan itu ekoran satu laporan yang dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Jelutong, di sini kelmarin.

Kejadian tersebut terbongkar setelah keluarga mangsa menyaksikan satu rakaman klip video aksi seks luar tabii itu yang tersebar di kalangan remaja di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.

Klip video selama kira-kira 30 saat itu dipercayai dibuat di kawasan kaki lima sebuah rumah pangsa oleh salah seorang rakan remaja lelaki terbabit menggunakan telefon bimbit milik seorang lagi rakannya.

Semua remaja itu yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377C iaitu kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang dilakukan tanpa kerelaan, secara paksa atau dengan ugutan," katanya.

Monday, October 25, 2010

Jangan Biar Anak Gadis Tinggal Sendirian Di Rumah

Pelajar 16 tahun rogol rakan sekolah
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/10/26

Suspek kerap kali berkunjung ke rumah ketika ketiadaan ibu bapa mangsa

AMPANG: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat ditahan polis selepas disyaki merogol rakan sekolahnya, pelajar perempuan berusia 13 tahun di rumah mangsa di sekitar Ulu Klang di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 16 tahun dikatakan melarikan diri ketika sedang melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah pelajar perempuan apabila bilik itu diserbu bapa dan bapa saudara mangsa, pada jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, berkata mangsa mengaku di hadapan bapa dan bapa saudaranya dia pernah mengadakan hubungan seks dengan suspek beberapa kali sebelum ini.

Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, dan anggota polis menahan suspek di rumahnya di sekitar Keramat, pada hari sama.

“Suspek turut mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan mangsa ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Pasangan itu mengaku mereka sering menjalinkan hubungan haram di rumah pelajar perempuan itu ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah,” katanya di sini, semalam.
Abd Jalil menasihatkan kepada semua ibu bapa supaya menjadikan kes itu sebagai contoh dengan memberikan perhatian lebih kepada anak mereka terutama perempuan dan dinasihatkan tidak meninggalkan anak mereka keseorangan di dalam rumah.

Jatuh Lepas Berasmara



Polis buru 2 lelaki kes remaja terjatuh


Anak panah menunjukkan lokasi seorang remaja perempuan yang terjatuh dari tingkat tujuh di Blok E, Apartment Lestari, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

PETALING JAYA 25 Okt. - Polis sedang mengesan dua remaja lelaki yang dipercayai berada bersama seorang remaja perempuan yang terjatuh dari tingkat lima sebuah flat di Sungai Buloh di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua mereka dipercayai ada bersama mangsa dan teman lelakinya ketika kejadian.

"Kedua-dua mangsa dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang menghabiskan masa dengan tiga lelaki mengundang padah apabila dia terbunuh akibat terjatuh dari tingkat atas flat lima tingkat di Sungai Buloh di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 11.50 pagi ketika mereka difahamkan berasmara di lokasi itu namun terkejut apabila tiba-tiba disergah oleh seorang penduduk yang memerhatikan kumpulan remaja terbabit.

Salah seorang remaja lelaki itu yang berusia 16 tahun merupakan teman lelaki mangsa dan telah ditahan pihak polis semalam.

Arjunaidi berkata, ketika berada di atas bangunan berkenaan, kumpulan remaja itu disergah seorang penduduk di flat berkenaan.

Difahamkan, kawasan atas bumbung itu memang terkenal sebagai tempat remaja belasan tahun berasmara.

Katanya, terkejut dengan sergahan lelaki terbabit, remaja perempuan itu tiba-tiba terjatuh dari tingkat lima flat terbabit.

Mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan badan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Sunday, October 17, 2010

Port Baik Punya

Lubuk maksiat
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sama ada suka atau tidak, Putrajaya antara ‘lubuk’ perlakuan maksiat sama ada membabitkan pasangan suami dan isteri orang yang berstatus kakitangan awam atau atau pasangan remaja yang kemaruk melakukan maksiat.

Kegiatan itu semakin menjadi-jadi berikutan sikap kebanyakan penghuni Islam di kuarters kerajaan dikenal pasti menggunakan pendekatan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ sehingga memudahkan perlakuan maksiat berleluasa.


Pengerusi Komuniti Presint 11, Carlos Basri, berkata dia pernah ditanya rakan dari luar Putrajaya yang mahu mengetahui tempat menarik di Putrajaya untuk melakukan maksiat bersama pasangan mereka.


Tanpa berselindung, Carlos mengakui terkejut apabila mereka beranggapan Putrajaya lokasi paling sesuai untuk melakukan maksiat.


“Kenyataan ini sukar diterima, tetapi hakikatnya perlakuan maksiat termasuk membabitkan suami dan isteri orang berstatus kakitangan kerajaan banyak dan kerap berlaku.


“Malah, lebih mengukuhkan dakwaan itu apabila beberapa pasangan berstatus kakitangan awam dicekup kerana berkhalwat di kuarters kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Carlos yang mendiami Presint 11, kira-kira 10 tahun lalu, berkata dia yakin kegiatan maksiat itu dilakukan kakitangan kerajaan yang mempunyai masalah psikologi dan terbawa-bawa ke pejabat sehingga menimbulkan masalah kepada orang lain.


Oleh itu, katanya, tidak hairan jika kakitangan terbabit dikesan turut menghadapi masalah moral termasuk melakukan maksiat dengan pasangan yang juga kakitangan kerajaan.


Tanpa berselindung, Carlos mengakui sedih dengan sikap penghuni Putrajaya yang tidak mengenali jiran sehingga mengundang kegiatan tidak bermoral di rumah jiran mereka.


Menurutnya, kebanyakan tangkapan khalwat dilakukan selepas pihak berkuasa agama memperoleh maklumat pihak ketiga dan bukan daripada jiran di kawasan berkenaan.


“Sikap ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak sihat kepada suasana bermasyarakat di kawasan berkenaan sehingga ‘orang luar’ menganggap Putrajaya tempat melakukan maksiat.

“Jadi, bukan satu yang pelik apabila wujudnya gejala maksiat termasuk khalwat membabitkan suami dan isteri orang yang semakin membimbangkan walaupun penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menjalankan operasi membanteras gejala itu,” katanya.


Carlos berkata, walaupun hampir 99 peratus penghuni di Putrajaya beragama Islam, mereka tidak memiliki semangat kejiranan yang kukuh bagi membantu penguat kuasa Jawi menangani gejala tidak bermoral terbabit.


Malah, katanya, sikap itu semakin memburukkan keadaan apabila premis milik kerajaan itu digunakan pemiliknya untuk melakukan maksiat.


Tanpa berselindung, Carlos berkata, walaupun pelbagai aktiviti kemasyarakatan dianjurkan, tetapi kehadiran penghuni amat mengecewakan seolah-olah mereka bukan penghuni di kawasan itu.


“Bukan itu saja, penghuni juga tidak menggunakan surau untuk mengeratkan silaturrahim, tetapi lebih selesa ‘menyembunyikan’ diri di dalam rumah dan tidak mempedulikan jiran berhampiran,” katanya.