Sunday, January 23, 2011

Prihatin Kes Buang Bayi

Kami Prihatin - prihatinkah anda ke arah sifar buang bayi

KES pembuangan bayi bagaikan bukan lagi berita untuk disiarkan.

Saban hari, ada sahaja kes seumpama itu dilaporkan sama ada di media cetak atau elektronik.

Sepanjang tahun lalu, berpuluh malah beratus kes pembuangan bayi dilaporkan menerusi media arus perdana.

Jika tidak silap, dalam tempoh dua hari kita menyambut tahun baru, satu mayat bayi perempuan ditemui dalam sebuah tangki tandas oleh seorang pencuci tandas di Hospital Serian, Sarawak pada 2 Januari lalu.

Mayat bayi seberat satu kilogram dan cukup sifatnya itu ditemui kira-kira pukul 5 petang oleh pencuci terbabit.

Berdasarkan tali pusatnya, bayi terbabit baru sahaja dilahirkan oleh ibunya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Sebenarnya jika hendak dituliskan mengenai kes pembuangan bayi, memang tidak mampu dicoretkan di ruangan yang terhad ini.

Statistik pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak ketika ini memang cukup menyedihkan.

Dilaporkan sejak empat tahun lalu, sebanyak 407 kes pembuangan bayi dan 10,758 kes penderaan dilaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

Mujurlah di Pahang, kes-kes pembuangan bayi tidak begitu serius.

Seingat penulis, hanya satu atau dua kes pembuangan bayi dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Apa pun, isu pembuangan bayi perlu diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak.

Di mana silapnya sehingga kes pembuangan bayi terus menghantui masyarakat sehingga dilihat seolah-olah sukar dibendung.

Jawapannya mudah - tiada pegangan agama yang kukuh.

Kerapuhan itu ditambah lagi dengan pergaulan bebas di kalangan remaja sehingga ada yang semakin berani untuk bersekedudukan.

Lantaran kerapuhan pegangan agama , kecanggihan teknologi komunikasi maklumat (ICT) sering menjadi mangsa untuk dipersalahkan apabila ia disalahgunakan oleh kelompok berkenaan.

Faktor-faktor lain termasuklah keruntuhan institusi kekeluargaan dan peranan media picisan yang sebenarnya tidak perlu lagi dikupas panjang lebar kerana telah terlalu banyak diperbincangkan di pelbagai peringkat.

Menyedari hakikat bahawa tanggungjawab menyedarkan masyarakat terhadap gejala pembuangan bayi bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, akhbar Utusan Malaysia menyahut cabaran dengan menggerakkan kempen 'Kami Prihatin' bagi membuktikan kesungguhannya menangani masalah tersebut.

'Kami Prihatin' yang dilancarkan pada 22 Mac tahun lalu melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan stesen televisyen berbayar, Astro.

Kempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak itu turut mendapat perhatian artis-artis terkemuka tanah air.

Kini usia kempen tersebut telah mencecah hampir setahun dan semakin banyak pihak yang berminat untuk berganding bahu menggerakkan misi kesedaran berkonsep jaya waris yang membawa makna 'anak orang anak kita' itu.

Hari ini sejarah tercipta di bumi Pahang apabila kempen tersebut diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang, Kuantan.

Kempen tersebut dianggap begitu penting apabila isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor sendiri turun padang merasmikannya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil .

Kempen kali ini bukan sekadar majlis keramaian.

Ia juga bukan satu majlis hiburan hedonistik yang lenyap sebaik sahaja berakhirnya program tersebut.

'Kami Prihatin' di UMP membawa mesej penting bahawa masyarakat perlu terus memandang serius gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak ini supaya ia tidak terus menjadi barah dalam komuniti'' ujarnya.

Mungkin matlamatnya masih belum dapat dicapai sepenuhnya buat masa ini tetapi percayalah, objektifnya akan dicapai jika ada kesungguhan dan lebih banyak pihak berganding bahu menjayakannya.

Syabas juga kepada UMP yang bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan kempen 'Kami Prihatin' kali ini.

Meskipun baru setahun jagung berbanding universiti lain yang tersohor, UMP memberi respons yang amat baik dalam menghidu pergolakan semasa di sekelilingnya.

Selaras dengan namanya juga, anda sebagai pembaca juga perlu prihatin untuk sama-sama menjayakan kempen kesedaran ini dalam usaha mencapai matlamat sifar buang bayi di negara ini.

Persoalannya, prihatinkah anda?