Friday, March 25, 2011

Mak Nyah



Sinar hidayah buat nyah
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


MENARIK..aktiviti lasak yang diatur untuk golongan mak nyah kembali menjadi lelaki sejati.
KUALA LUMPUR: Dua puluh tahun dahinya tidak pernah mencecah sejadah dan kehidupan dipenuhi maksiat, namun program khas anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini membuka pintu hati seorang mak nyah untuk bertaubat dengan harapan mampu kembali menjadi lelaki normal.

“Hampir 20 tahun saya tidak pernah menunaikan solat, menyebabkan cara wuduk dan banyak bacaan dalam sembahyang saya terlupa.
“Selepas menyertai kursus ini, saya semakin insaf terhadap kesilapan lampau dan banyak mempelajari ilmu agama untuk memulakan hidup baru sebagai lelaki sejati,” katanya hanya mahu dikenali sebagai Shasa, 35.

Menurutnya, biarpun sekian lama menjalani hidup sebagai mak nyah dengan penampilan lebih 95 peratus seperti perempuan, namun jauh di sudut hati dia sedar tidak boleh meneruskan kehidupan sebegitu hingga ke akhir hayat.



“Sebelum ini, niat untuk berubah memang ada kerana saya memang menyimpan hasrat untuk mati sebagai lelaki Islam.



“Sebab itulah bila dapat tahu Jakim menganjurkan program seperti ini, saya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya kerana saya memang ingin meninggalkan kehidupan sebagai mak nyah yang penuh dengan dosa,” katanya.

Rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Sayang, 30, pula berkata, dia baru menjalani pembedahan implan payudara, namun secara tiba-tiba terbuka pintu hati untuk menyertai 16 `rakan sejenisnya’ dalam program pemulihan itu.

“Saya baru beberapa hari pulang ke tanah air selepas melakukan pembedahan implan payudara dan hidung di Thailand, namun saya terpanggil untuk menyertai program ini apabila mengetahuinya melalui kawan-kawan.

“Saya sendiri tidak pasti mengapa membuat keputusan ini. Mungkin Allah membuka pintu hati untuk saya kembali ke pangkal jalan dan bersyukur di atas hidayah-Nya,” katanya.

Menurutnya, selepas menjalani pengisian program anjuran Jakim itu, hatinya begitu tersentuh dan insaf terhadap perjalanan hidupnya selama ini jauh terpesong daripada landasan Islam.

Program selama tiga hari di sebuah lokasi rahsia di Jelebu, Negeri Sembilan itu dihadiri 17 mak nyah dan ia diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk kuliah agama, kaunseling, latihan lasak serta bimbingan kerjaya supaya mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan hidup sebagai lelaki normal.

Ketua Penolong Pengarah Sosial Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Zakuan Sawai berkata, program itu diatur rapi sejak dua bulan lalu dan ia dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia serta Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Program ini bertujuan mendekati golongan mak nyah yang sering dianggap jelik oleh masyarakat dan mengubah persepsi umum terhadap jabatan agama yang dianggap hanya cenderung menahan mereka apabila melakukan maksiat.

“Dengan terlaksananya program ini, ia membuktikan jabatan agama sebenarnya turut bertanggungjawab membimbing mak nyah supaya mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Zakuan berkata, dalam program itu pihaknya sama sekali tidak memaksa mak nyah terbabit mengubah penampilan atau bertaubat, sebaliknya mereka dididik secara lembut dan tersirat melalui pelbagai program yang menyeronokkan.

“Ia lebih kepada dakwah secara halus. Malah, kami juga tidak memaksa mereka mengerjakan solat atau mengikut sesi tazkirah kerana kami mahu mereka melakukannya dengan sukarela atas keikhlasan hati masing-masing,” katanya.

Menurutnya, selain memberi didikan rohani, mak nyah terbabit turut diberi bimbingan kerjaya dengan mendedahkan mereka mengenai peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perhotelan yang diatur dengan bantuan Pusat Giat Mara.

“Selain itu, program ini juga diharap dapat mengurangkan penularan penyakit Aids serta penyalahgunaan dadah,” katanya yang berharap aktiviti itu menarik lebih ramai penyertaan golongan mak nyah untuk ia diadakan lagi pada masa depan.

Sunday, March 6, 2011

Hilang Dara Usia Muda

Bencana sosial mengancam nilai Islam

oleh MASHITAH IBRAHIM
2/19/2011 11:01:37 AM

Menurut satu kajian terbaru, 60 peratus remaja Malaysia hilang dara menjelang umur 18 tahun, manakala 42 peratus daripada mereka mengaku mengadakan hubungan seks dengan ramai pasangan. Sejumlah 43 peratus berkata mereka gembira selepas melakukan seks, malah 30 peratus remaja mengaku menjalin hubungan jantina sekadar bersuka-suka.

Kajian membabitkan 2,800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com juga menunjukkan di kalangan mereka yang mengadakan hubungan seks, 74 peratus tidak mengamalkan sebarang perlindungan.

Maklumat kajian ini sangat merisaukan. Walaupun soal selidik dijalankan secara rambang membabitkan responden remaja pelbagai kaum dan agama, dan kita juga terima hakikat bahawa soal selidik yang dijalankan secara online mempunyai beberapa kelemahan dari segi ketepatan maklumat, ia masih membimbangkan.

Ini mendorong kita berfikir sama ada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan, NGO dan sukarelawan serta kempen saban hari melalui media sebenarnya tidak berhasil? Pelbagai dasar, strategi dan program yang dilaksanakan rupanya tidak ke mana.

Adakah tenaga, masa, wang ringgit dan pelbagai kajian yang dijalankan oleh penyelidik masih sia-sia?

Saya tidak percaya kita menemui jalan buntu. Namun statistik diperoleh daripada kajian ini bukan sahaja menyedihkan, malah menggerunkan. Kira-kira 30 peratus remaja berkata, mereka memikirkan seks setiap hari dan 50 peratus tidak pasti mereka ada pengetahuan yang cukup mengenai seks sebelum mengadakan hubungan jantina.

Sebagai Penaung Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, saya cukup mengambil berat mengenai bencana sosial yang melanda remaja di negara kita dan mengancam keharmonian kehidupan bermasyarakat. Moral dan nilai agama terancam.

Keadaan ini menuntut perhatian yang serius dan usaha yang berterusan dari pelbagai pihak, termasuk kerajaan, agensi dan jabatan, NGO dan badan sukarela, polis, sekolah dan universiti, pengurusan surau dan masjid, pihak media dan ibu bapa.

Bayangkan, rumah perlindungan Baitul Fiqh yang kecil ini (cuma boleh mengambil 15 penghuni pada satu-satu masa) sudah mengendalikan 600 kes remaja hamil dalam tempoh enam tahun.

Di Lembah Kelang sahaja, terdapat puluhan rumah perlindungan dan pusat bimbingan yang menampung remaja hamil pelbagai kaum dan agama. Di Baitul Fiqh, kita mengisi waktu penghuni dengan kelas-kelas mengaji al-Quran dan tajwid, fekah dan tauhid selain sesi motivasi dan pembelajaran kemahiran, seperti memasak, membuat roti dan kek.

Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah SWT dan kerjasama pengurusan serta sukarelawan, majoriti kes yang kita urus di Baitul Fiqh berakhir dengan penghuni mampu khatam Quran, menyambung pelajaran di sekolah atau universiti, menyambung kerjaya atau menjadi isteri dan ibu yang baik selepas berkahwin. Tidak ada kes yang berulang.
Tapi tanggungjawab kita tidak berhenti di sini. Kita juga tidak boleh berlapang dada dengan pencapaian setakat ini. Justeru, saya amat menghargai lawatan yang dilakukan oleh pelbagai pihak ke Baitul Fiqh termasuk Perkasa, wakil rakyat, syarikat korporat, penyelidik, sukarelawan dan para dermawan.

Satu keadaan yang terpaksa kita hadapi ialah tanggapan bahawa rumah perlindungan seperti Baitul Fiqh sebenarnya menggalakkan kes zina dan menambah bilangan bayi luar nikah.

Abu Hurairah juga meriwayatkan: “Bahawasanya Rasulullah SAW mencium Husin bin Ali (cucu baginda), maka berkatalah Al-Aqra’ bin Habbas: “Sesungguhnya bagiku ada sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium satu pun dari mereka. Maka bersabdalah baginda: “Barang siapa tidak merahmati, dia tidak dirahmati.”

Hadis ini menceritakan bagaimana baginda Rasulullah SAW menegur sikap seorang sahabat yang tidak pernah menzahirkan kasih sayang terhadap anaknya. Baginda mengingatkan barang siapa tidak merahmati atau mengasihi, maka Allah SWT tidak merahmatinya.

Penulis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Madu Anak



'Bermadu' anak sendiri
Oleh Hadzlihady Hassan dan Noozleyantie ‘Alia Adnan
am@hmetro.com.my


KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.

Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.

Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.



“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.



Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.

“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.

“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.

“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.

“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.

Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.

“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.

“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.

“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.

Tuesday, March 1, 2011

Suami G Keje Isteri Ehem2

Suami pergi bekerja, isteri asmara depan anak


KULIM: Seorang isteri berusia 23 tahun yang mempunyai dua anak sanggup bermain kayu tiga apabila ditahan berkhalwat bersama kekasih gelapnya dalam kejadian di Kampung Padang Tembak, malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, perbuatan durjana wanita berkenaan dilakukan di rumahnya sendiri ketika suaminya bekerja dan di depan dua anaknya berusia enam dan setahun setengah.


Ketua Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, dalam kejadian jam 9 malam itu, suami wanita berkenaan yang dihubungi penduduk kampung pulang ke rumahnya sebelum mendapati kekasih gelap isterinya berusia 20 tahun berbaring di sofa.

Katanya, berang dengan tindakan isteri dan lelaki berkenaan, suami yang berusia 25 tahun terbabit memaklumkan kejadian itu kepada PADK untuk tindakan lanjut.


“PADK menerima aduan kira-kira jam 9.30 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di rumah berkenaan, kami dapati berlaku pergelutan antara suami wanita itu dengan kekasih gelap isterinya,” katanya.

Mabuk Sampai Masuk Longkang

Kepala dalam longkang
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

MASJID TANAH: Suasana di hadapan sebuah kedai makanan di pekan ini, gempar seketika, apabila seorang lelaki berusia awal 30-an terjatuh dari motosikal secara tiba-tiba, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu turut disaksikan beberapa pelanggan yang sedang menjamu selera di kedai itu dan terkejut melihat aksi lelaki terbabit merangkak di atas jalan raya selepas terjatuh dari motosikalnya.


Pelanggan kedai makan berkenaan, Mohd Shahril Salleh, 32, berkata, lelaki itu dipercayai mabuk berikutan motosikal ditunggangnya terhoyong-hayang dan tersembam ke atas jalan sebelum dia merangkak ke arah longkang berdekatan.

Menurutnya, dia perasan lelaki berkenaan datang dari lorong di belakang kedai makan berkenaan.


“Masa itu saya berdiri di tepi kedai tidak jauh dari tempat dia terjatuh dan mengesyaki dia mabuk kerana motosikal itu kelihatan terhoyong- hayang.


“Tak lama selepas itu saya perhatikan dia sudah tergolek atas jalan dan beberapa pelanggan yang berada di dalam menjerit melihat kepala lelaki berkenaan berdarah tapi apabila kami nak tolong dia tak mahu dibantu,” katanya.


Katanya, orang ramai yang berada di kaki lima cuba mengalihkan motosikal di atas jalan, tetapi dihalang lelaki terbabit serta mendakwa dia masih normal dan tidak mahu diganggu sesiapa.


“Saya dan pelanggan terpaksa berundur kerana bimbang dia mengamuk. Mulanya saya dan beberapa pelanggan hanya memerhatikan saja lelaki berkenaan berjalan ke motosikalnya. Saya sangkakan dia nak hidupkan enjin motosikal namun dia tidak berbuat demikian.


“Tiba-tiba lelaki berkenaan merangkak menuju ke bucu longkang yang agak dalam di tepi kedai makan dan menjunamkan kepala ke dalam longkang dengan kakinya ke atas menyebabkan kami yang berada di situ segera menariknya ke atas.


“Memang lucu bila melihat keadaan lelaki itu mabuk dan tergolek di atas jalan raya dan merangkak sebelum terjatuh ke dalam longkang pula tapi tak tergamak nak biarkan keadaannya begitu sebelum menghubungi pihak hospital,” katanya.


Jurucakap Jabatan Kecemasan, Hospital Alor Gajah berkata, lelaki berkenaan mabuk dan hanya mengalami luka ringan.

Goyang Lalok

‘Goyang lalok’ rai hari lahir
Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu meraikan hari lahir rakan secara luar biasa, 25 lelaki dan lima wanita ditahan ketika ‘goyang lalok’ dalam satu parti liar dadah dan arak yang dianjurkan mereka di sebuah hotel di Jalan Pudu, Pudu Ulu di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ketika asyik menari dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol.


Malah, ada dakwaan mengatakan kumpulan terbabit turut melakukan hubungan seks ketika meraikan majlis hari lahir seorang daripada mereka. Semua mereka dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya Eramin 5, methapetamin dan Ecstasy.


Menurut sumber, sepasukan polis bergegas menyerbu bilik hotel bertaraf tiga bintang itu selepas menerima aduan daripada penghuni lain kerana kumpulan terbabit dikatakan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman mereka.


“Ketika serbuan dilakukan, ada segelintir daripada kumpulan terbabit masih menari kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.


“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi, mengesahkan penahanan kumpulan terbabit.


“Hasil ujian air kencing yang dilakukan, 19 daripada mereka termasuk dua wanita didapati positif dadah. Malah, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis dadah yang digunakan dalam parti berkenaan.


“Mereka semua akan direman sehingga hari ini (semalam) dan akan dihadapkan ke mahkamah esok (hari ini),” katanya.


Mohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Saya menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial