Saturday, May 14, 2011

Port Maksiat

Stesen minyak NPE ‘port’ buat maksiat
Oleh Noozieyantie ‘Alia Adnan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kawasan tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Pantai Dalam, dekat sini, kini menjadi ‘port’ baru bagi pasangan kekasih memadu asmara di dalam kereta yang diletakkan di situ.

Tinjauan Harian metro di situ, mendapati sebilangan pasangan kekasih menjadikan kawasan tempat letak kereta itu sebagai tempat melepak dan bermesra sebelum kegiatan tidak bermoral itu berlarutan ke aktiviti yang lebih memalukan.


Hasil tinjauan bermula tengah hari hingga petang mendapati, kawasan terbabit bukan hanya merakamkan adegan gurau senda pasangan kekasih di dalam kereta yang dihidupkan enjin serta penyaman udaranya, malah turut sampai ke adegan lebih memalukan.

Menurut sumber, kebanyakan pasangan kekasih yang melepak di kawasan terbabit, pada mulanya hanya bertujuan untuk bersembang dan akhirnya berakhir dengan aktiviti tidak bermoral.


Kawasan sunyi, yang jarang digunakan pengguna bagi meletakkan kenderaan di situ memudahkan lagi mereka untuk memadu kasih.


Ketika tinjauan dilakukan, kelihatan si lelaki tanpa segan membuka baju sebelum menurunkan penyandar kerusi kereta sehingga mendapat posisi baring manakala si perempuan hanya memandang kekasihnya sambil membelai mesra sebelum turut menurunkan penyandar kerusinya.

Pengunjung, Nor Rozita Hamdan, 25, mendakwa pernah terserempak dengan sepasang kekasih bercumbu di kawasan terbabit.


“Selepas mengisi minyak, saya berjalan untuk ke tandas awam di kiri kawasan stesen minyak ini. Pada mulanya saya tidak nampak sebarang tanda-tanda yang mencurigakan pada kereta yang diletakkan di kawasan itu.

“Namun, apabila semakin hampir, saya lihat seorang lelaki dan seorang perempuan sedang bercium dengan kerusinya di baringkan untuk mengelak dari dilihat orang awam,” katanya yang sering mengisi minyak di stesen terbabit.


Pekerja stesen yang tidak mahu dikenali berkata, dia pernah menghalau sepasang kekasih yang mencurigakan di dalam kereta pada waktu tengah malam.


“Saya halau mereka selepas melihat pasangan terbabit duduk di satu kerusi sama. Apa yang berlaku kita boleh fikir sendiri, bila melihatkan butang baju wanita terbabit terbuka di bahagian dadanya.


“Si lelaki pula, kelam-kabut membetulkan seluar yang dipakai selepas disergah,” katanya yang sudah beberapa kali terserempak dengan pasangan kekasih yang sedang bermadu kasih di kawasan terbabit.

Tuesday, May 3, 2011

Gempur Lubuk Maksiat

Lubuk maksiat terus digempur

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 3 Mei - Semua lokasi panas yang dikenal pasti sebagai 'lubuk maksiat' akan terus digempur anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), termasuk 'sarang' kaki ekor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak jabatan berkenaan tidak pernah memandang ringan gejala itu dan akan terus memburu pesalah jenayah syariah, selain memberi nasihat kepada individu terbabit.

"Banyak operasi telah dilakukan, termasuk rondaan harian dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa yang lain seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), imigresen dan pihak berkuasa tempatan," katanya di sini hari ini.

Mohamad menegaskan, berikutan tindakan tanpa henti itu, beberapa kawasan panas yang dahulunya menjadi lokasi maksiat, kini berjaya dikurangkan.

"Pusat hiburan juga diserbu untuk memeriksa dan menahan umat Islam yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti meminum arak serta mabuk. Ini juga telah berkurangan," katanya.

Beliau menjelaskan, pegawai JHEAINS turut ditempatkan di premis menjual nombor ekor untuk mengekang pembabitan umat Islam dalam aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, JHEAINS turut memantau perkembangan ideologi yang dibawa oleh orang bukan Islam yang mengambil kesempatan untuk melalaikan umat Islam.

Untuk itu katanya, jabatan tersebut sentiasa mengadakan aktiviti yang dapat memberi kesedaran kepada umat Islam seperti kursus, seminar, kempen kesedaran, khususnya di kawasan bandar.

"Maklumat kepada orang awam melalui usaha dakwah juga dilakukan termasuk Modul Teras Kefahaman Islam yang menjurus kepada pemahaman tauhid dan sunnah.

"Selain program kesedaran ini, usaha penguatkuasaan juga dilakukan bagi membendung kegiatan yang boleh memesongkan akidah termasuk yang tidak bersesuaian dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.