Tuesday, February 15, 2011

Runtuh

Rumah dipercayai pusat pelacuran runtuh


Beberapa orang anggota penguat kuasa melihat keadaan dalam sebuah rumah yang runtuh ketika operasi membanteras rumah pelacuran di Kampung Limau Manis, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. - utusan/Aizzul A. Majid

KOTA BHARU 15 Feb. - Sebuah rumah usang di Lorong Limau Manis di sini yang dipercayai menjadi pusat maksiat sejak puluhan tahun lalu, tiba-tiba runtuh di bahagian lantainya ketika diserbu penguat kuasa dalam operasi bersepadu malam tadi.

Runtuhan di tingkat satu rumah papan itu yang menempatkan beberapa bilik kecil menyebabkan seorang wanita yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pelacuran di situ cedera di kaki kiri.

Dia dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.

Selain itu, beberapa anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi bersepadu itu turut tercedera akibat ditimpa serpihan kayu bagaimanapun tiada kecederaan serius.

Operasi pukul 10.30 malam itu diketuai oleh Ketua Unit Pembangunan Insan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MKPB-BRI) dengan bantuan 27 anggota MKPB-BRI, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Jaheaik).

Dalam serbuan itu, enam orang ditemui berada di dalam rumah tersebut iaitu seorang lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak.

Dua lagi lelaki ditahan kerana berada di luar rumah dengan seorang daripada mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas.

Bagaimanapun, ketika serbuan tiada sebarang aktiviti pelacuran dikesan dan kedua-dua individu ditahan merupakan rakyat Malaysia berketurunan Siam.

Lorong Limau Manis terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah terkemuka di negeri ini terkenal dengan kegiatan maksiat yang dipercayai telah wujud sejak hampir 20 tahun lalu.

Kegiatan maksiat di kawasan itu dilaporkan di dalam sebuah blog baru-baru ini yang turut menggesa agar kerajaan negeri mengambil langkah segera membendungnya.

Dalam pada itu, Setiausaha MPKB-BRI, Mohd. Anis Hussin berkata, dua lelaki yang ditahan di luar rumah tersebut telah dibawa ke balai polis berdekatan untuk ujian air kencing manakala kesemua ditahan di dalam rumah telah dibebaskan.

Jelas beliau, operasi itu diadakan secara bersepadu untuk membuktikan ketegasan Kerajaan Pas Kelantan membanteras kegiatan maksiat yang berlaku di kawasan tersebut.

"Ini adalah permulaan operasi kita yang akan dilakukan secara berterusan kerana kita mahu semua pihak mengambil berat mengenai kegiatan haram seperti ini di negeri ini.

"Selepas ini banyak lagi operasi bersepadu akan dilakukan bukan setakat pencegahan maksiat tetapi premis-premis yang menjual arak dan pusat perjudian akan turut dihapuskan," tegas beliau.

Menurut beliau, operasi semalam merupakan yang kedua dijalankan dalam tempoh dua hari dan beberapa individu serta barang perjudian telah dirampas sebelum ini.

Ujarnya, dalam operasi malam kelmarin di tiga tempat berlainan, dua lelaki telah ditahan manakala 23 unit komputer dirampas dari sebuah premis Internet di Jalan Kelochor di sini kerana dipercayai digunakan untuk urusan perjudian.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Hotel Bajet

Lima pasangan ditahan berkhalwat


PASANGAN bukan muhrim disoal penguat kuasa ketika ditahan kerana berdua-duaan dalam bilik hotel di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 15 Feb. - Lima pasangan ditahan dalam Operasi Bersepadu Penutupan Pusat Hiburan dan Pencegahan Maksiat sempena malam Maulidur Rasul, di sini malam tadi.

Operasi dijalankan Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi dijalankan bagi mencegah kegiatan maksiat dan memastikan pusat hiburan ditutup pada malam sambutan Maulidur Rasul dengan tumpuan di sekitar pusat hiburan, hotel dan rumah tumpangan di pusat bandar dan Yong Peng.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd. Anuar Kosnin berkata, dua daripada pasangan tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melakukan persetubuhan luar nikah.

"Jika disabitkan kesalahan kedua-dua pasangan terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau lima kali sebatan atau ke semuanya," katanya di sini hari ini.

Mohd. Anuar berkata, dalam operasi berkenaan terdapat beberapa cubaan nekad untuk melarikan diri seperti terjun dari bangunan setinggi dua tingkat tetapi tidak berjaya.

Tambahnya turut ditahan, seorang warga Bangladesh bersama pasangannya warga Myanmar serta seorang penjawat awam.

Beliau memberitahu, semua pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 dan akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurut beliau, kegiatan maksiat semakin bertambah seiring pertambahan hotel dan juga rumah tumpangan di daerah ini dan pihaknya dibantu dengan penguatkuasa yang lain akan terus melakukan operasi secara berterusan.

"Jika dahulu dalam operasi seperti ini pasangan yang ditahan hanya didakwa kerana berkhalwat tetapi kini ada dalam kalangan mereka telah mengandung anak luar nikah.

"Masalah sedemikian perlu dibendung dengan segera dan pelbagai pihak mesti memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Anuar meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kegiatan maksiat ini agar menghubungi talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-4341141 .

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Polis

Maksiat: Anggota polis menggigil dicekup


Seorang lelaki membetulkan kancing seluar dan pasangannya terkejut dalam operasi maksiat di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 15 Feb. - Seorang anggota polis menggigil ketakutan ketika ditahan bersama pasangannya dalam operasi cegah maksiat di sini, malam tadi.

Sambil terketar-ketar, lelaki berusia 40-an itu bertindak membetulkan kancing seluarnya ketika disoal Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Adegan itu turut disaksikan pasangannya berusia 20-an yang juga seorang anggota polis dan bekerja di tempat sama.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pasangan itu pada mulanya berkeras enggan keluar dari kereta yang dinaiki mereka.

Bagaimanapun, katanya, setelah dipujuk beberapa kali, mereka akhirnya keluar dari kenderaan tersebut.

"Ketika disoal, lelaki tersebut yang telah berkahwin mengaku berasmara bersama pasangannya ketika mereka berdua-duaan dalam kereta," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pasangan tersebut merupakan antara 23 pasangan diperiksa oleh kakitangan JHEAIPP sepanjang operasi selama empat jam bermula pukul 11 malam itu yang tertumpu di sekitar Padang Kota Lama, Queensbay, Bayan Mutiara dan Batu Maung.

Menurut beliau, satu lagi pasangan berusia 20-an yang mengaku telah bertunang pula memberi alasan sibuk bekerja menyebabkan mereka bertemu pada waktu malam bagi membincangkan persiapan perkahwinan serta melepaskan rindu.

Katanya, semasa ditahan di satu kawasan lapang dekat Seagate, Bayan Baru di sini pasangan lelakinya terus keluar dari kereta sambil merayu kepada pegawai JHEAIPP manakala teman wanitanya menutup badan dengan jaket.

"Turut ditahan dan diberi notis ialah seorang gadis yang berdua-duaan dengan pasangan lelaki bukan Islam di kawasan letak kereta Queensbay," katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga pasangan tersebut telah diberi notis kerana berkhalwat.

Katanya, dalam operasi tersebut, JHEAIPP turut memberi amaran dan merekodkan maklumat 12 individu lain manakala lapan pasangan pula diberi kata nasihat kerana berkelakuan kurang sopan.

Sementara itu, Khairul Azman memberitahu, pasangan yang diberi notis mengikut Seksyen 29 Enakmen Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 pula diminta hadir ke pejabat JHEAIPP dalam tempoh yang diberikan.

Katanya, kebanyakan yang diperiksa adalah muda-mudi berusia lingkungan 20-an hingga 40-an, antaranya pekerja kilang, penuntut institusi pengajian tinggi, berniaga sendiri dan juga penjawat awam.

Menurut beliau, operasi berkenaan bukan bertujuan mencari kesalahan tetapi lebih bersifat memantau lokasi-lokasi yang sering menjadi pasangan kekasih agar tidak berlaku perkara-perkara mungkar.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, February 14, 2011

Khalwat Bawa Anak


Berkhalwat bawa anak kecil



TAHAN...pasangan kekasih terbabit yang dicekup dalam operasi, semalam.
SEPANG: Taktik seorang duda menggunakan anaknya berusia setahun lapan bulan bagi mengaburi pihak berkuasa ketika asyik memadu kasih dengan pasangan berusia 21 tahun tidak menjadi apabila dicekup pihak berkuasa di sebuah hotel murah di Dengkil, semalam.

Mereka ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dalam operasi antizina di beberapa hotel murah di Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira jam 2 pagi, selepas mendapat maklumat pasangan bukan mahrim terutama dari luar kawasan itu menjadikan hotel murah di kawasan itu bagi ‘meraikan’ hubungan sulit sempena Hari Kekasih.

Malah, ketika ditahan, duda berusia 27 tahun dari Dengkil itu hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, manakala pasangannya sudah berpakaian lengkap.

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu diketuai pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Mohd Azran Musa bersama 25 anggota membabitkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Polis Diraja Malaysia dan penguat kuasa agama.


Pegawai Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Sepang, Alfian Ahmad, berkata duda terbabit dipercayai membawa anaknya bagi melindungi kegiatan tidak bermoral bersama pasangannya.

Menurutnya, pada zahirnya, orang ramai akan menyangka pasangan itu suami dan isteri apabila ada anak kecil bersama di dalam bilik hotel berkenaan.


“Tetapi, hasil risikan kami membongkar rahsia pasangan itu tiada sebarang hubungan suami isteri dan anak kecil itu anak lelaki terbabit.


“Kami percaya lelaki terbabit menggunakan taktik membawa anak kecil itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.


“Bagaimanapun, cara mereka memperalatkan kanak-kanak itu bagi menjayakan perbuatan maksiat mereka tidak berhasil apabila serbuan dilakukan penguat kuasa agama,” katanya ketika di temui dalam operasi itu, semalam.


Alfian berkata, siasatan turut mendapati lelaki terbabit sudah bercerai selain mempunyai seorang lagi anak dan memberikan alasan akan berkahwin dengan pasangan pada Jun depan.

Buat Operasi


96 ditahan dalam Ops Valentine

Oleh ASSIM HASSAN dan ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA penguat kuasa Ops Valentine menanyakan sesuatu kepada mereka yang diberkas di sekitar Subang Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Walaupun kempen dilakukan bagi memberi kesedaran kepada umat Islam agar menjauhi sambutan Hari Kekasih hari ini, namun masih ada yang tidak mengambil peduli.

Ia terbukti apabila 96 umat Islam ditahan kerana berkhalwat dalam 'Ops Valentine' yang dijalankan di sini dan Selangor, malam semalam hingga awal pagi ini.

Lebih menyedihkan, tangkapan dilakukan kurang 24 jam sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nurhamizah Othman berkata, seramai 80 orang berusia 18 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan di hotel-hotel bajet di seluruh Selangor.

"Sebelum ini usaha dilakukan di dalam fasa pertama iaitu melalui kempen, dakwah dan arahan beredar kepada pasangan oleh penguat kuasa di taman-taman rekreasi dan tasik," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, peringatan melalui khutbah Jumaat juga telah disampaikan agar umat Islam tidak terikut-ikut dengan budaya barat itu yang boleh merosakkan akidah.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan didakwa di mahkamah selain 61 orang diarah menghadiri sesi kaunseling dan 60 lagi diminta beredar.

"Mereka yang ditahan bakal didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Katanya, dalam operasi tersebut juga, seramai enam orang diuji positif dadah dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi melibatkan kira-kira 60 pegawai dan anggota penguat kuasa JAIS itu diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Mohd. Rais Rashid.

"Operasi bermula pukul 8 malam dan berakhir pukul 5 pagi turut melibatkan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan dan Rela," katanya lagi.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Raja Laut, 16 orang berusia 21 hingga 40 tahun ditahan di lima buah hotel bajet kira-kira pukul 1 pagi.

Jurucakap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, ketika serbuan, ada yang enggan membuka pintu dan melengahkan masa dipercayai untuk memakai pakaian.

"Ada tidak sempat memakai baju, bersembunyi di dalam bilik air dan belakang pintu ketika ditahan pegawai Jawi," katanya di sini hari ini.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Jawi untuk siasatan mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, February 11, 2011

Isteri Xrela

Isteri tak rela bermadu


SAYA berkahwin dan mempunyai anak. Saya berhasrat berpoligami bagi membantu seorang ibu tunggal dan berkongsi kebahagiaan dengannya.

Selain itu, saya juga mahu melaksanakan ibadah serta mengamalkan sunnah Rasulullah. Hasrat ini saya suarakan kepada isteri dan anak.
Namun, cadangan itu tidak dipersetujui isteri biarpun menjelaskan tujuan niat baik, hak serta tanggungjawab yang perlu saya pikul nanti.

Isteri meminta saya menceraikannya jika ingin meneruskan hasrat berpoligami. Saya memang tidak dapat melupakan ibu tunggal itu memandangkan kesusahan hidup yang dihadapi bersama anaknya.



Saya masih menghubunginya selain memberikan sumbangan kewangan. Salahkah hasrat saya untuk berpoligami? Adakah isteri saya berdosa atau bersalah kerana tidak bersetuju dengan hasrat saya itu biarpun saya berterus-terang kepadanya?



Jika saya ingin meneruskan hasrat itu, apakah saluran perundangan yang boleh saya kemukakan?


ABU SAMAH, Pahang.


SECARA umumnya Islam membenarkan poligami bagi kaum lelaki saja. Dari sudut sejarahnya perkahwinan secara poligami sudah pun wujud dan dipraktikkan dalam masyarakat sebelum kedatangan Islam lagi.

Bagaimanapun, Islam datang memberi panduan kepada kehidupan berpoligami supaya terjalin kasih sayang dan mawaddah antara suami dan isteri-isterinya.

Contohnya, bilangan isteri dihadkan kepada empat saja dan penekanan kepada keadilan antara isteri terutamanya dalam aspek giliran sesama isteri.

Perkara ini dijelaskan al-Quran seperti berikut: "Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu kahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah al-Nisa' ayat 3).

Islam tidak menyekat hasrat anda untuk berpoligami. Anda juga berasa mampu untuk berbuat demikian dan berterus terang dengan isteri.

Pada kebiasaannya isteri akan menentang hasrat seperti mana yang berlaku pada anda. Di samping itu, pihak isteri juga menyuarakan hasratnya untuk bercerai sekiranya anda ingin terus berpoligami.

Hal itu perlu ditangani dengan bijaksana supaya tidak berlaku perceraian. Sebagai panduan, anda sepatutnya berdepan dengan perkara itu dengan penuh tenang dan jangan lekas marah.

Segala kerenah hendaklah dihadapi secara berhemah. Anda mesti yakin dengan diri sepanjang masa dan jangan mudah terikut-ikut perasaan.

Jika mempunyai masalah, ia hendaklah diselesaikan satu persatu. Contohnya, apabila isteri tidak bersetuju, anda hendaklah menerima pendirian itu secara tulus dan terbuka.

Amat jarang sekali isteri yang bersetuju dengan poligami. Bagaimanapun, anda termasuk isteri mesti memahami bahawa dalam Islam persetujuan isteri untuk suami berpoligami bukannya syarat.

Isteri yang tidak bersetuju pula tidak menyebabkan dia berdosa. Dosa berlaku apabila isteri mengambil langkah jahat untuk menghalang suami berpoligami seperti menggunakan sihir dan sebagainya.

Seterusnya secara perundangan anda boleh mengemukakan permohonan untuk kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah. Antara yang perlu dikemukakan dalam permohonan berkenaan ialah "suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungnya, termasuk orang-orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada sudah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu." (Akta Undang-Undang Keluarga Islam, 1984).

Mahkamah kemudian boleh memberi kebenaran apabila ia berpuas hati (1) bahawa perkahwinan itu adalah patut dan perlu (2) pemohon mempunyai kemampuan kewangan (3) kemampuan memberi layanan adil kepada semua isteri dan (4) perkahwinan berkenaan tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Umumnya Akta Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dilihat meletakkan syarat yang berat dan ketat dalam permohonan perkahwinan poligami. Antara sebabnya ialah untuk menjaga maslahat keluarga dan sebagainya.

Ini menyebabkan ramai pasangan memilih untuk berkahwin ke luar negara. Bagaimanapun, ia mungkin mendatangkan masalah berbangkit lain selepas itu termasuk pendaftaran perkahwinan di Malaysia secara sah.

Mereka ingin mendaftar perkahwinan itu pula didakwa atas alasan berpoligami tanpa kebenaran dan seterusnya dihukum. Mudah-mudah perlu ada penilaian semula undang-undang yang ada sehingga maslahat individu tidak diabaikan dan undang-undang tidak dilihat sebagai 'halangan' dan hukuman semata-mata.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Port Lebuhraya

Asmara dalam ‘kereta sakit’
Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Memalukan apabila segelintir remaja dikesan menjadikan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Taman Bukit Margosa, Paroi, dekat sini, sebagai ‘port kereta sakit’ dipercayai untuk memadu asmara pada waktu tengah malam dan awal pagi sejak awal bulan lalu.

Kebanyakan mereka melakukan aktiviti itu di dalam kereta sama ada dengan meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya atau bergerak perlahan antara kawasan taman berkenaan ke Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, kira-kira dua kilometer.


Perbuatan mereka dikesan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Bukit Margosa yang melakukan operasi rondaan keselamatan setiap malam di kawasan taman terbabit dan menemui tiga hingga empat pasangan remaja memadu kasih dalam kenderaan.

Timbalan Pengerusi SRS taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 40, berkata dalam operasi baru-baru ini, pihaknya menemui dua pasangan remaja memadu kasih dalam dua kereta berasingan di tepi lebuh raya dan sebuah lagi bergerak perlahan di laluan kecemasan.


Menurutnya, kejadian disedari berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila empat anggota SRS yang menaiki dua motosikal mengekori kenderaan terbabit, namun mereka memecut kenderaan ke Jalan Seremban-Kuala Pilah sebaik menyedari diperhatikan.


“Kami percaya mereka memilih laluan berkenaan untuk melakukan aktiviti maksiat kerana menganggap kawasan terbabit agak sunyi pada waktu tengah malam dan awal pagi kerana kenderaan kurang melalui lebuh raya itu pada waktu itu.


“Bagaimanapun, mereka didapati tidak memikirkan kesan tindakan itu kerana boleh mengundang bahaya seperti dilanggar kenderaan lain kerana banyak kes membabitkan kemalangan di lebuh raya termasuk mereka yang meletakkan kenderaan di laluan kecemasan,” katanya.


Katanya, pihaknya tidak boleh menahan mereka kerana ia di luar bidang kuasa mereka, tetapi memantau bagi memastikan imej kawasan taman tidak terjejas selain kegiatan itu perlu dibanteras.


“Kami akan terus memantau kegiatan tidak bermoral itu supaya mereka tidak menjadikan kawasan ini sebagai ‘port’ untuk melakukan maksiat kerana sebelum ini pernah berlaku kes pasangan remaja hampir melanggar anggota SRS ketika dikejar,” katanya.


Azizul Rahman berkata, pihaknya berharap ibu bapa melaksanakan peranan mereka terutama dalam memantau pergerakan anak remaja perempuan masing-masing sebelum berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.


“Ibu bapa perlu membuat pemantauan terhadap pergerakan anak remaja mereka bagi mengelak nasib dan masa depan anak mereka terjejas disebabkan perbuatan sia-sia,” katanya.


Penduduk lain, Abd Aziz Abd Hamid, 49, berkata pihaknya meminta kerjasama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk memantau kawasan berkenaan bagi memastikan aktiviti tidak sihat itu berterusan.


“Pemantauan pihak berkuasa agama mampu mencegah kegiatan yang bukan saja bertentangan ajaran Islam,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Sunday, February 6, 2011

Khalwat Dialam Cyber

Berduaan di alam siber sama seperti khalwat


KUALA LUMPUR: Wanita dan lelaki bukan mahrim yang berbual berduaan biarpun di alam siber, melakukan perlakuan sama seperti berkhalwat kerana ia mengundang bisikan syaitan yang akhirnya akan menarik mereka melakukan perbuatan mungkar, termasuk curang pada suami atau isteri.

Sehubungan itu, penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata mereka yang menggunakan kemudahan Internet perlu meletakkan sempadan syariat dan sempadan hati supaya teknologi itu tidak disalah guna atau menjadi alat perantaraan untuk membuat maksiat.


Beliau berkata, isteri tidak seharusnya membenarkan lelaki bukan mahrim memasuki rumahnya ketika suami tiada di rumah, begitu juga halnya dengan perbuatan isteri berbual dengan lelaki lain menerusi Internet, seumpama membenarkan individu itu memasuki rumahnya, seterusnya merosakkan rumah tangga.

“Membenarkan perkara sebegini memasuki rumah bermakna membenarkan ia memasuki hati dan apabila manusia sudah keluar daripada sempadan, manusia itu akan menjadi rosak,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, bisikan syaitan menjadikan seseorang itu merasakan sesuatu perkara itu begitu menyeronokkan hingga sanggup melakukan perkara mungkar termasuk meninggalkan suami, isteri atau anak-anak, sedangkan ia bakal menyesali perbuatannya kerana keseronokan berkenaan hanya bersifat sementara disebabkan ia berada dalam alam fantasi.


Katanya, alam khayalan dan realiti tidak sama dengan di alam nyata, kita semua mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul, bukan sekadar untuk berseronok.


“Asasnya adalah apabila hubungan dengan Allah rosak, maka semuanya akan meruntuh. Teknologi itu tidak salah, tetapi orang yang menyalah gunakan teknologi untuk tujuan terpesong,” katanya.

Ibu Contoh



Anak saksi maksiat ibu
Oleh Idris Musa, Muhd Izawan Baharin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my


KESAL...Razif menunjukkan laporan polis berhubung tangkapan khalwat isterinya.
KUALA LUMPUR: Seorang isteri berusia 38 tahun terkedu apabila dicekup suami sendiri ketika asyik memadu asmara bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Puchong Perdana, dekat sini.

Lebih mengaibkan perbuatan terkutuk wanita itu turut disaksikan anak perempuannya berusia 18 tahun yang mengikuti serbuan bersama beberapa pegawai sebuah masjid di kawasan itu.


Suami wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Razif, 47, berkata ketika serbuan kira-kira jam 2 pagi pada 2 Februari lalu, isterinya yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara, berdua-duaan dengan teman lelakinya berusia 49 tahun.

Menurutnya, kereta lelaki terbabit yang diletak di luar rumah turut ditutup nombor pendaftarannya supaya ia tidak dicam jiran sekeliling, sekali gus melindungi perbuatan maksiat mereka.


“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya apabila melihat isteri berasmara dengan lelaki itu. Lebih menyakitkan hati, lelaki terbabit turut berlagak samseng apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya di hadapan anak perempuan saya,” katanya.


Menurutnya, selepas dicekup isteri dan kekasihnya itu yang juga seorang kakitangan sebuah universiti terkemuka di ibu negara dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut termasuk merekodkan laporan mengenai tindakan khalwat mereka.


“Sebaik sampai di balai (polis) tanpa rasa malu atau kesal, lelaki itu bertindak berani apabila meluru masuk untuk membuat laporan kononnya dia tidak bersalah dan rumahnya diceroboh.


“Lebih teruk, dia juga sengaja memeluk serta bermesra dengan isteri di depan kami semua bertujuan untuk menaikkan kemarahan saya,” katanya.

Razif berkata, isterinya dipercayai sudah menjalinkan hubungan dengan lelaki itu sejak empat bulan lalu dan dia sebelum ini sudah mengesyaki perkara itu, namun tiada bukti sehingga kedua-duanya tertangkap. “Kami sudah berkahwin selama 20 tahun dan dikurniakan lima anak. Sekarang keluarga serta anak-anak kucar-kacir disebabkan perbuatan isteri saya yang melampau ini,” katanya.


Ahli Jawatankuasa masjid, Harun Nayan yang terbabit serbuan khalwat itu berkata, tiga ahli kariah termasuk imam masjid di situ membuat serbuan selepas menerima aduan suami wanita terbabit yang mendakwa isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain dalam sebuah rumah.


Menurut Harun, suami serta anak perempuan wanita itu turut serta serbuan berkenaan dan sebaik pasangan terbabit ditahan, mereka dibawa ke balai polis.


“Laporan polis mengenai tangkapan pasangan khalwat itu dibuat imam yang mengetuai serbuan. Ia bagi membolehkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat siasatan lanjut selepas ini.


“Selepas laporan dibuat kami semua beredar dan kebiasaannya polis akan merujuk kes itu kepada Jais yang kemudian akan memanggil kami untuk mendapatkan butiran kes berkenaan, namun setakat ini kami belum dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohamad Rais Rasid, berkata pihaknya belum menerima laporan kes terbabit, namun akan membuat tindakan susulan termasuk siasatan terperinci terhadap tangkapan itu.


“Walaupun tangkapan dilakukan pegawai masjid bersama penduduk, Jais masih mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan susulan termasuk pendakwaan kerana pegawai masjid dilantik oleh Jais dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.


“Bilal, imam, nazir dan siak adalah pegawai masjid yang dilantik Jais dan tindakan yang diambil mereka tidak boleh dipertikaikan. “Dalam siasatan ini kami akan dapatkan keterangan saksi dan laporan daripada pihak sepatutnya seperti pihak masjid sebelum mengambil tindakan lanjut untuk pendakwaan,” katanya.


Menurutnya, jika ada bukti menunjukkan pasangan terbabit melakukan kesalahan syariah mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.