Friday, July 29, 2011

bubuh mayat dalam beg


Mayat bayi dalam beg tangan

Anggota polis forensik mengangkat mayat seorang bayi yang ditemui di Kilometer 282.4, Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Utara berhampiran susur masuk Nilai, semalam.

SEREMBAN 29 Julai - Entah ke mana perginya sifat kemanusiaan segelintir individu yang bertindak kejam membuang bayi tidak berdosa walaupun perbuatan seperti itu sering didedahkan oleh media.

Tetapi itulah yang masih berlaku apabila seorang penunggang motosikal menemui mayat seorang bayi lelaki dalam sebuah beg tangan wanita di Kilometer 282.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran susur masuk Nilai dekat sini petang ini.

Penunggang motosikal itu, Azmi Talib, 44, memberitahu, dia menemui beg tangan itu kira-kira pukul 2.30 petang ketika dalam perjalanan dari Muar, Johor menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia singgah di bawah jejambat berkenaan untuk berehat seketika sebelum ternampak satu beg tangan wanita berwarna hitam berhampiran lokasi kejadian.

"Ingin tahu apa yang ada di dalam beg itu, saya membuka beg tangan tersebut dan nampak satu objek yang dibalut dengan tuala berwarna putih.

"Sebaik sahaja memegang objek itu, saya dapati ia lembik dan terkejut apabila melihat kaki bayi terkeluar dari hujung tuala berkenaan sebelum menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, bayi berkenaan dipercayai berketurunan Melayu dan baru dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.

"Polis turut menemui satu bungkusan plastik mengandungi uri tidak jauh dari lokasi beg tangan itu dijumpai," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

serah bayi kepada orang

Bayi baru lahir ditinggalkan kepada sepasang suami isteri

ALOR SETAR 29 Julai - Sepasang suami isteri yang ingin menjamu selera di sebuah kedai makan di Shahab Perdana di sini terkejut apabila seorang gadis meninggalkan bayi lelaki yang dipercayai baru lahir kepada mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi, Ahmad Zaidi Muin, dan isterinya, Marina Midon, masing-masing berusia 34 tahun didatangi seorang gadis meminta isterinya memegang sebentar seorang bayi yang berbungkus dengan tuala berwarna coklat dengan alasan untuk ke tandas.

"Ketika itu kami baru tiba dari Kuala Nerang untuk menjamu selera di kedai makan kegemaran kami dan boleh dikatakan tiap minggu kami akan ke sini.

"Saya baru sahaja meletakkan kereta sebelum seorang gadis berusia lingkungan awal 20-an datang meminta kami jaga bayinya untuk ke tandas namun selepas sejam, dia tidak muncul-muncul," katanya di sini, malam tadi.

Menurut Ahmad Zaidi, dia dan isterinya kemudian membawa bayi itu ke rumah abangnya di Pokok Sena sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

"Kami kemudian membawa bayi lelaki ini ke Balai Polis Alor Setar kira-kira pukul 12 malam untuk melaporkan hal ini kerana bimbang kami dituduh menculik bayi tersebut," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata

Tambahnya, tiada sebarang dokumen atau surat ditinggalkan oleh gadis tersebut kepada mereka.

Dia juga percaya bayi ini baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada muka bayi ini. Ahmad Zaidi dan isteri juga berhasrat untuk mengambil bayi ini sebagai anak angkat mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut dan bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut.

"Bayi berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Thursday, July 21, 2011

helah oku buang anak

Gadis OKU buang bayi
Oleh Ahmad Othman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA TINGGI: Selepas menyusukan dan meletakkan bayi baru dilahirkannya di belakang rumah didiami bersama keluarga di Teluk Sengat di sini, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 23 tahun dikatakan sanggup membuat helah mengejutkan ibunya dengan memberitahu terdengar tangisan bayi, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, ibu wanita berkenaan panik terus mengejutkan suaminya sebelum mereka menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam keadaan bogel di tepi longkang rumah mereka. Bagaimanapun, helah wanita OKU berkenaan yang mengalami kecacatan di kaki dan mata akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis, kira-kira jam 8 malam di rumah keluarganya selepas dipercayai terbabit melakukan perbuatan itu. Difahamkan, kejadian itu kali kedua wanita berkenaan melahirkan bayi luar nikah hasil hubungan haramnya dengan teman lelakinya warga Nepal selepas dua tahun lalu turut melahirkan bayi luar nikah hasil hubungannya dengan seorang lelaki warga Indonesia.


Menurut wanita itu, dia melahirkan bayi berkenaan seorang diri kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam bilik tidur di rumah keluarganya.

“Ibu bapa saya tidur di bilik sebelah manakala adik bongsu pula di ruang tamu tidak menyedari kelahiran berkenaan.


“Sejurus selepas bersalin, saya sempat menyusu dan mendakap bayi saya sebelum senyap-senyap keluar ke belakang rumah lalu meletakkan bayi itu di tepi longkang rumah,” katanya, semalam.


Difahamkan, ketika ditemui, bayi berkenaan masih bertali pusat selain dipenuhi kesan darah sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.

Menurut wanita itu, ketika polis dan kakitangan perubatan tiba di lokasi kejadian, dia yang memakai jean turut membantu membersihkan semut pada muka bayinya itu.


“Keluarga tidak mengetahui saya hamil kerana biasanya keluar rumah seawal jam 5 pagi untuk bekerja di sebuah kilang di Ulu Tiram sebelum pulang pada lewat malam.

“Pada masa sama, saya turut memakai pakaian bersaiz besar bagi mengelak tembelang hamil anak luar nikah diketahui keluarga,” katanya.


Katanya, ini kali kedua dia melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelakinya warga Nepal manakala anak luar nikah pertamanya lahir hasil hubungan dengan seorang lelaki warga Indonesia diserahkan kepada satu keluarga untuk dipelihara.


Pengarah HKT, Dr Maslina Yusof ketika ditemui mengesahkan bayi itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan diberi rawatan antibiotik bagi mengelak sebarang jangkitan.


“Bayi lelaki berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas rawatan selesai,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan.


“Wanita terbabit direman empat hari hingga Ahad ini dan sudah dihantar ke HKT untuk rawatan perubatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

dirogol bapa tiri

Remaja dinoda bapa tiri, disisih ibu kandung

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG JAYA: Seorang remaja berusia 16 tahun bukan saja menjadi mangsa rogol bapa tirinya selama lima tahun, malah disisih dan dimarahi ibunya sendiri selepas menceritakan kejadian itu tahun lalu di Pandan Perdana, di sini hingga menyebabkan dia terpaksa menumpang di rumah saudaranya.

Kejadian malang itu bermula ketika remaja itu berusia 11 tahun apabila bapa tirinya berusia 50-an mengambil kesempatan merogolnya ketika ibunya tiada di rumah.


Remaja berkenaan pada mulanya takut untuk memberitahu perkara itu kepada ibunya, namun mengambil keputusan menceritakan hal itu selepas sering diganggu bapa tirinya itu.

Sumber polis berkata, kejadian pertama berlaku pada 2006 apabila bapa tiri mangsa memaksa remaja itu melakukan hubungan seks ketika ibunya tiada di rumah.


“Mangsa menolak permintaan, namun diugut akan dihalau keluar sekiranya tidak menurut perintah. Lelaki itu memaksa mangsa melakukan hubungan terlarang berkenaan.


“Mangsa dirogol sebanyak dua kali. Lelaki itu turut memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan kejadian kepada ahli keluarga sekiranya mahu selamat,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, tidak tahan dengan penderitaan yang ditanggung mangsa memberitahu ibunya berkenaan perangai buruk bapa tirinya minggu lalu, namun dimarahi dan dituduh memfitnah.


“Remaja itu kemudian melarikan diri dengan berlindung di rumah saudara dan membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah, kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.