Thursday, February 16, 2012

port gelap

‘Port’ sunyi, gelap jadi pilihan
Wartawan Sinar Harian
15 Februari 2012
‘Port’ sunyi, gelap jadi pilihan
BUTTERWORTH - Seorang wanita warganegara Indonesia beragama Islam yang sedang memadu kasih bersama teman lelakinya bukan Islam antara tujuh pasangan remaja yang ditahan dalam operasi cegah maksiat sempena Hari Kekasih sekitar daerah ini, malam semalam.
Ketika ditahan oleh kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP), lima pasangan itu berada di Kawasan Rehat dan Rawat, Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan dua pasangan lagi di Pantai Bersih di sini.
Kesemuanya didapati berdua-duaan di tempat sunyi dan berkelakuan tidak senonoh.
Ketua Unit Operasi Penguatkuasaan, JAINPP, Khairul Azman Azizan yang mengetuai operasi bermula jam 10 malam hingga 3 pagi itu berkata, pihaknya menyasarkan dua kawasan itu kerana ia sering dijadikan lokasi memadu kasih oleh pasangan remaja.
“Dengan kedudukannya yang gelap dan jauh dari pandangan awam, dua kawasan itu sering dijadikan pilihan untuk pasangan remaja melakukan maksiat.
“Kita sering menjalankan operasi mencegah kemungkaran di kawasan ini kerana tidak mahu gejala buruk seperti itu dibiarkan berleluasa tambahan lagi untuk diraikan oleh pasangan kekasih sempena sambutan Hari Kekasih semalam,” katanya.
Menurut Khairul Azman, enam pasangan remaja dan wanita warganegara Indonesia itu diberikan notis kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 iaitu berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
Lelaki bukan Islam yang menjadi pasangan wanita warganegara Indonesia itu pula dilepaskan.
Difahamkan jika sabit kesalahan, setiap seorang mereka ditahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau pun kedua-duanya sekali.
Selepas ditahan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama di sini untuk disoal siasat dan dibebaskan dengan jaminan oleh ahli keluarga masing-masing serta akan didakwa di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment