Thursday, April 12, 2012

maut keracunan

ARKIB : 10/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 14
Pelajar maut akibat keracunan

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

MUAR 9 April - Seorang kanak-kanak tujuh tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan nasi lemak dibeli di sebuah pasar malam di Tangkak dekat sini pada Isnin lalu.

Fakhira Batrisya Zainal Abidin, murid tahun satu dari Taman Wawasan Tangkak, dikatakan memakan nasi lemak yang dibeli bapanya, Zainal Abidin Alami, 35, daripada seorang peniaga di sebuah pasar malam dekat Taman Tangkak Jaya pada 31 Mac lalu.

Berikutan itu, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik serta ahli keluarganya mengalami cirit-birit sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia pada pagi 2 April lalu.

Bapa saudara mangsa, Mohammed Fadzir Moktar, 27, berkata, bapa mangsa merupakan pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang membeli nasi lemak berkenaan dan membawanya pulang untuk dimakan bersama keluarganya.

"Selepas itu, mereka bertiga mengalami masalah cirit birit dan pada pagi Isnin lalu ketika mahu mengejutkan Fakhira Batrisya dari tidur, abang ipar saya mendapati anaknya sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohammed Fadzir berkata, abang ipar dan kakaknya kini masih mendapat rawatan di Hospital Putra Batu Pahat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Haron Idris mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kematian mangsa namun punca sebenar kematian kanak-kanak itu belum dapat dipastikan.

"Siasatan awal mendapati, 25 individu mengalami keracunan makanan dipercayai akibat memakan nasi lemak dan murtabak yang dibeli di sebuah pasar malam di Tangkak.

"Bagaimanapun, kesemua mereka sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tangkak dan tidak berdepan masalah kesihatan serius," katanya.

Haron berkata, mangsa meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke hospital dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr. Robiah Kosai berkata, peniaga terbabit kini digantung lesen perniagaan untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Robiah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terbukti peniaga berkenaan bersalah.

No comments:

Post a Comment