Sunday, April 1, 2012

taman jadi port maksiat

Taman rekreasi port maksiat
Wartawan Sinar Harian
1 April 2012
Taman rekreasi port maksiat
JENJARUM – Lebih tiga tahun kawasan riadah Taman Ria di sini terbiar dan sering dijadikan tempat melakukan kegiatan tidak bermoral.
Seorang pekerja swasta, Hamiza Hashim, 29, menyuarakan kekesalannya terhadap kejadian yang berlaku itu kepada pihak yang berwajib namun masih tiada sebarang tindakan drastik dilaksanakan.
Menurutnya, penduduk berdekatan merasakan ianya satu kerugian apabila tempat riadah yang sepatutnya dimanfaatkan bersama dipenuhi semak samun selain didakwa menjadi port maksiat.
“Ia sepatutnya di selenggara dengan baik memandangkan kawasan riadah itu adalah satu-satunya yang terdekat dengan kediaman kami di sini
“Namun, ianya dipenuhi semak samun mencecah paras peha selain didakwa menjadi tempat maksiat anak-anak muda pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian susulan sering kali melihat sekumpulan remaja berkumpul di kawasan berkenaan pada lewat malam.
Hamiza, yang setiap hari melalui kawasan berkenaan mengharapkan ada pihak memberikan peruntukan untuk membaik pulih kawasan riadah itu supaya ia dapat digunakan semula penduduk dengan lebih selesa.
“Peruntukan itu bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua penduduk yang berbilang bangsa tinggal di penempatan ini,” katanya.
Bagi P Purachiviren, keadaan itu bukan saja menyakitkan mata memandang, malah mencemarkan keselesaan penduduk kerana apabila waktu hujan sistem perparitan tidak dapat berfungsi dengan baik malah penduduk bakal menghidu bau yang busuk.
Menurutnya, pihaknya pernah mengajukan masalah itu ke pengetahuan ahli majlis dan diberitahu masalah itu akan dipanjangkan dalam mesyuarat penuh tetapi sehingga kini tidak menampakkan sebarang perubahan.
“Kita risau kepada pejalan kaki, apabila terpaksa melalui kawasan itu setiap hari dan kami bimbang jika berlaku perkara buruk.
“Selain itu, kawasan semak itu dikhuatiri menjadi habitat haiwan berbahaya dan berbisa yang mengancam keselamatan mereka yang menggunakan laluan di situ,” katanya.
Penyelaras Pembangunan Persekutuan Dun Telok Datok, Ng Siok Hwa berkata, beliau meminta pihak yang bertanggungjawab turun padang melihat keadaan kawasan tersebut.
Tambahnya, beliau pernah menerima aduan daripada penduduk setempat yang pernah terlihat ular sawa melintas pada waktu pagi.

No comments:

Post a Comment