Friday, August 31, 2012

remaja melayu malam merdeka

19 pasangan berkahwat dicekup JAIP

31/08/2012 2:28pm

KUANTAN - Menyorok bawah katil, mendaftar diri dengan nama palsu dan mengaku sebagai pasangan yang sudah berkahwin, itu antara taktik yang digunakan sebahagian 19 pasangan beragama Islam yang dicekup Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam operasi cegah maksiat pada malam sambutan Hari Kemerdekaan awal pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP, Mohd. Raffli Abd. Malik berkata, pasangan berkenaan yang dicekup di hotel-hotel bajet sekitar bandar ini kerana berkhalwat kini ditahan JAIP untuk siasatan lanjut dan dibenar diikat jamin sebelum dibebaskan.
"Seramai 38 orang, iaitu 19 lelaki dan 19 wanita berumur dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun berjaya kita tahan dalam operasi cegah maksiat JAIP yang bermula dari pukul 10 malam hingga 6 pagi tadi," katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir pada kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
Pasangan itu bakal didakwa mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Beliau turut menasihatkan pasangan berkenaan yang kebanyakannya muda-mudi agar menyambut kemerdekaan dengan cara yang sewajarnya, bukan mengambil peluang dengan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Islam. - BERNAMA

Wednesday, August 29, 2012

dicabul dalam kereta

Remaja dicabul dalam kereta
Wartawan Sinar Harian
29 Ogos 2012
ROMPIN - Gara-gara menjalin hubungan cinta songsang, seorang remaja dibelasah dengan tongkat kayu sebelum dicabul dua lelaki di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak ke Temerloh.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ina (bukan nama sebenar) bukan saja dibelasah dan dicabul, malah dia yang berada di tempat duduk penumpang belakang turut dimaki dengan kata kesat dan dipaksa makan cili api.
Lebih mengaibkan, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘bomoh’ sempat merakamkan gambar dan video Ina yang tidak berbaju itu dalam telefon bimbit sambil mengugut untuk menyebarkannya dalam Internet.
Ina yang berusia 19 tahun itu berkata, sepanjang perjalanan itu juga, dia didera fizikal dan mental apabila diasak pelbagai pertanyaan keluarga Tasha (bukan nama sebenar) dan bomoh terbabit tentang hubungan sejenisnya dengan wanita itu.

“Keluarga Tasha datang jumpa keluarga saya di rumah dan paksa saya supaya ikut mereka ke Temerloh kononnya untuk berbincang dan menyelesaikan secara baik kesalahan yang dilakukan saya terhadap Tasha,” katanya.

Menurutnya, ibunya yang bimbang sesuatu terjadi ke atas dirinya menghubungi abangnya memaklumkan tentang kedatangan keluarga Tasha ke rumahnya bagi menyelesaikan kes terbabit.

“Bagaimanapun keluarga Tasha tetap berkeras untuk membawa saya ke Temerloh untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pada mulanya, mereka tidak membenarkan emak dan kakak saya ikut, namun setelah didesak beberapa kali akhirnya mereka terpaksa membawa kedua-duanya sekali ke Temerloh.

“Emak saya mula curiga, apabila saya dipaksa menaiki kereta berasingan sedangkan emak dan kakak menaiki kereta yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, atas alasan bomoh itu yang kononnya tidak berbuat apa-apa terhadap diri saya di dalam kereta terbabit, akhirnya ibu akur dengan alasan tersebut.

“Segala-galanya berubah apabila saya yang duduk di tempat penumpang belakang diapit abang Tasha dan bomoh telah bertindak kejam dengan memukul saya dengan tongkat kayu sambil melemparkan kata kesat,” katanya.

Ina berkata, bomoh itu turut merakamkan video dan gambar dia tidak berbaju sambil memaksanya untuk memandang kamera telefon bimbit tersebut.

Katanya, bomoh dan abang Tasha juga mengugut untuk membawanya ke sebuah penempatan Orang Asli kerana ada tujuh lelaki di situ yang sudah sedia menunggu untuk merogolnya.

“Bagaimanapun, ibu Tasha menghubungi anaknya itu supaya segera membawa saya ke rumah mereka kerana sudah lama menanti,” katanya.
Katanya, sebaik saja sampai di rumah ibu Tasha, dia dipukul wanita itu.

Menurutnya, kejadian dia dipukul itu hanya mampu disaksikan ibu dan kakaknya itu memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk menghalang perbuatan kejam tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia tiba di rumah, dia menceritakan segala-galanya detik dia dicabul dan dipukul oleh bomoh dan abang Tasha kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan bagi pihaknya.

“Pada mulanya, kita tak mahu memperbesarkan perkara ini, namun tindakan yang dilakukan oleh keluarga Tasha amat kejam hingga mendatangkan kecederaan dan mencabul kehormatan saya,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam sebelum membuat laporan polis seterusnya di Balai Polis Bandar Tun Razak, Keratong.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan, Zainul Mujahidin Mat Yudin mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes terbabit.

Zainul Mujahidin berkata,  polis menahan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan.

Monday, August 27, 2012

buat maksiat dalam hotel

Muka selamba buat maksiat
NOOR AZIANTY NORMAN
28 Ogos 2012
Lokasi yang sering menjadi tumpuan pasangan kekasih untuk melepaskan nafsu.
Lokasi yang sering menjadi tumpuan pasangan kekasih untuk melepaskan nafsu.
Muka selamba buat maksiat
Pasangan remaja Islam memilih hotel bajet kerana kadar sewanya yang murah.
KUANTAN – “Mereka seolah-olah sudah biasa melakukan perbuatan terkutuk itu hinggakan berani keluar-masuk ke hotel bajet dengan muka tidak bersalah,” kata Mamat Ibrahim, 60, pemandu teksi di Jalan Pasar, di sini.
Katanya, lebih memalukan, kebanyakan pelanggan yang mendaftar masuk ke hotel berdekatan kawasan itu adalah golongan remaja Islam.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka orang sini atau orang luar. Tapi kebiasaannya jika ada sambutan atau program besar di sini, biasanya orang luar yang ramai datang menginap di hotel bajet ini.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada di antara mereka yang tinggal di Kuantan, tetapi sanggup mengeluarkan duit untuk bermalam dengan kekasih masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Mamat berkata, kebiasaannya mereka akan mula mendaftar masuk sekitar jam 6.30 petang sehingga lewat malam.

“Mereka daftar masuk tak tentu masa. Kadangkala saya sendiri tak sedar bila mereka masuk, tahu-tahu sahaja sudah keluar keesokan harinya.

“Yang peliknya, mereka sedikit pun tidak ambil peduli dengan pandangan masyarakat, sebaliknya bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bag imereka, orang ramai tidak berhak untuk menegur perbuatan mereka. Sebab itulah mereka berani buat apa sahaja,” katanya.

Tambahnya, selepas menunaikan ‘hajat’ masing-masing, ada di antara remaja terbabit menaiki teksinya untuk pulang ke rumah.

“Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman Kuantan. Bila ditanya, mereka jawab terpaksa bermalam di hotel murah kerana hari sudah lewat malam serta tiada kenderaan,” katanya.

Dia yang lebih 20 tahun memandu teksi berkata, kawasan itu bukan hanya menjadi tumpuan remaja ketika sambutan hari kemerdekaan atau Tahun Baru, tetapi menjadi tempat persinggahan setiap malam minggu.

“Faham-faham sahajalah, jika tiada acara besar di sini pun sudah ramai yang datang, bila tiba hari kemerdekaan, lagilah berebut bilik. Pendek kata, siapa yang lambat mendaftar masuk, tiadalah peluang untuk melampiaskan nafsu.

“Tauke hotel bertambah kaya, mereka pula tambah dosa,” katanya.

Manakala, bagi peniaga tudung dan pakaian muslimah, Zainon Mamat, 28, kadangkala golongan ini mendaftar masuk sekitar jam 9 pagi.

“Mereka memang bijak, seolah-olah sudah tahu waktu operasi Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) hinggakan ada yang terlepas daripada ditahan pihak berkuasa.
“Saya memang tidak berani tegur jika nampak ada pasangan yang mencurigakan masuk ke dalam hotel kawasan ini. Saya bimbang, jika ditegur mereka akan buat perkara yang tidak diingini.

“Golongan seperti ini sanggup buat apa sahaja asalkan dapat melepaskan diri. Justeru, jika saya nampak sesuatu yang mencurigakan, saya akan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, perbuatan ini memang sukar dibendung jika ada pihak yang tidak memberikan kerjasama terutama pemilik hotel murah.

“Jika mereka tegas serta tidak berkompromi, kemungkinan aktiviti maksiat ini dapat dikurangkan. Namun, pemilik hotel murah lebih kepada mengejar keuntungan, mereka tidak peduli sama ada pelanggan itu muhrim atau tidak,” katanya.

Ambil tindakan tegas

Sementara itu, bagi Madri Mohd, 61, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu bagi mengelakkan ia terus berleluasa.

“Saya tidak pasti sejauh mana keberkesanan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa kerana semakin hari saya lihat aktiviti ini semakin rancak seolah-olah mereka tidak takut dengan pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan.

“Mungkin kerana mereka sudah dapat membaca pergerakan pihak berkuasa, sebab itulah masing-masing berani mengusung teman wanita naik ke bilik,” katanya.

Lebih menyedihkan, dia pernah melihat teman wanita yang mendaftar masuk manakala yang lelaki menunggu di bawah.

“Saya faham, pihak berkuasa tidak mampu untuk menempatkan pegawai mereka 24 jam di hotel-hotel murah, namun saya harap mereka dapat mempertingkatkan operasi bagi mengurangkan
aktiviti tidak bermoral ini.

“Saya bimbang, jika ia tidak dibendung, masalah pembuangan bayi akan meningkat serta merosakkan masa depan remaja itu sendiri. Kita memerlukan generasi muda untuk membangunkan negara, jika mereka sudah rosak, bagaimana pembangunan negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini Jaip memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.

Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan itu yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.

Friday, August 3, 2012

murtadkan remaja

Pesong akidah remaja miskin
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Pesong akidah remaja miskin
Pelancong asing turut menemui Pengerusi IPSI , Kamaruddin Abdullah (kiri) bagi mendapatkan penerangan mengenai agama Islam di sekitar Masjid Kapitan Keling.
GEORGETOWN – Laporan Sinar Harian mengenai sekumpulan remaja dihasut murtad ketika berbuka puasa semalam mendapat reaksi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam, di sini.

Dakyah bertujuan memesongkan akidah umat Islam itu dipercayai sudah semakin terbuka dan meluas di negeri ini, malah sebuah rumah pangsa di Padang Tembak di sini dipercayai menjadi lokasi sekumpulan individu bergerak aktif cuba memesongkan akidah umat Islam.

Perkara itu didedahkan sendiri Setiausaha Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) Pulau Pinang, Nursyazwani Bukhori.

Menurutnya, rumah yang menjadi pusat operasi memesongkan akidah umat Islam itu berselindung di sebalik kerja kebajikan buat remaja yang kurang mendapat kasih sayang.
“Mereka mengambil kesempatan ke atas remaja Islam yang ibu bapa mereka balik lewat malam kerana bekerja dan yang tidak mendapat kasih sayang secukupnya.
“Mereka ini akan memasak makanan dan menyediakan tempat tidur kepada remaja berkenaan. Pada masa sama, kesempatan ini akan digunakan untuk mempengaruhi secara halus kalangan remaja itu untuk berpaling daripada Islam," katanya.

Amal budaya tempatan taktik dekati sasaran

Nursyazwani berkata, pendekatan yang diambil kumpulan ini dilihat semakin berani dan  terbuka, malah sanggup mengamalkan budaya tempatan supaya fahaman mereka lebih mudah meresapi golongan sasaran ini.

Menurutnya, antara taktik yang digunakan ialah penyebar agama berkenaan akan memakai baju kurung untuk mudah menambat hati orang Melayu.

“Kita mungkin berasa bangga melihat orang asing memakai baju kurung sedangkan mereka sebenarnya ada agenda lain yang tersembunyi. Mereka juga cuba mempelajari Bahasa Melayu untuk memudahkan pergaulan.
“Bukan itu sahaja, beberapa cara untuk menarik remaja kita khasnya dalam kalangan mereka yang masih lemah pegangan agama ialah menggunakan perkataan agama Islam sendiri antaranya ALLAH SWT dan penggunaan kitab," katanya.
Ketika ditanya mengenai penyebaran dakyah sehingga di pusat membeli belah terkemuka sekitar Georgetown, IPSI juga mengakui ada menerima aduan sedemikian.
Nursyazwani mengakui ada lelaki asing yang akan mendekati umat Islam berbuka di sebuah restoran makanan segera.

“Apa yang dapat dilakukan oleh kami ialah mewujudkan satu bahagian di dalam IPSI bagi menyiasat perkara sedemikian, namun NGO lain perlu turut sama memantau perkara ini daripada menjadi makin meruncing," katanya.
“Kita juga tidak boleh menyalahkan penyebar dakyah ini sahaja, kerana mereka mengambil kesempatan terhadap kelemahan kita, jadi kita sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk menyelesaikannya,” katanya.

Terdengar sendiri hasutan

Timbalan Pengerusi 2 Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan Malaysia (ApiPenang), Asti Toba antara individu yang mendengar sendiri dua lelaki asing menghasut seorang pengayuh beca yang beragama Islam untuk memeluk agama mereka.
Asti berkata, perkara itu disedarinya ketika membuat kiraan data kumpulan gelandangan sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling.

Menurutnya, pelancong berkenaan pada mulanya sekadar bertanya mengenai kawasan Masjid Kapitan Keling tetapi lama kelamaan berubah topik perbualan.

“Setelah kami menjauhi pakcik beca berkenaan saya sendiri mendengar mereka sedang menyampaikan dakyah berkenaan, tetapi masih kurang jelas, namun kami bernasib baik kerana selepas solat Maghrib pakcik berkenaan menunggu kami.

“Dia menceritakan semua yang terjadi dan nampak ketakutan. Lelaki asing itu memaksa pakcik beca mengaku tuhannya adalah benar dan Nabi Muhammad SAW salah. Mereka juga berjanji membawa pakcik berkenaan ke pusat agama mereka keesokannya.

“Tetapi pakcik itu tidak datang ke tempat biasanya kerana takut dijumpai lelaki asing itu,” katanya.