Tuesday, May 3, 2011

Gempur Lubuk Maksiat

Lubuk maksiat terus digempur

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 3 Mei - Semua lokasi panas yang dikenal pasti sebagai 'lubuk maksiat' akan terus digempur anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), termasuk 'sarang' kaki ekor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak jabatan berkenaan tidak pernah memandang ringan gejala itu dan akan terus memburu pesalah jenayah syariah, selain memberi nasihat kepada individu terbabit.

"Banyak operasi telah dilakukan, termasuk rondaan harian dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa yang lain seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), imigresen dan pihak berkuasa tempatan," katanya di sini hari ini.

Mohamad menegaskan, berikutan tindakan tanpa henti itu, beberapa kawasan panas yang dahulunya menjadi lokasi maksiat, kini berjaya dikurangkan.

"Pusat hiburan juga diserbu untuk memeriksa dan menahan umat Islam yang melakukan aktiviti tidak bermoral seperti meminum arak serta mabuk. Ini juga telah berkurangan," katanya.

Beliau menjelaskan, pegawai JHEAINS turut ditempatkan di premis menjual nombor ekor untuk mengekang pembabitan umat Islam dalam aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, JHEAINS turut memantau perkembangan ideologi yang dibawa oleh orang bukan Islam yang mengambil kesempatan untuk melalaikan umat Islam.

Untuk itu katanya, jabatan tersebut sentiasa mengadakan aktiviti yang dapat memberi kesedaran kepada umat Islam seperti kursus, seminar, kempen kesedaran, khususnya di kawasan bandar.

"Maklumat kepada orang awam melalui usaha dakwah juga dilakukan termasuk Modul Teras Kefahaman Islam yang menjurus kepada pemahaman tauhid dan sunnah.

"Selain program kesedaran ini, usaha penguatkuasaan juga dilakukan bagi membendung kegiatan yang boleh memesongkan akidah termasuk yang tidak bersesuaian dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

No comments:

Post a Comment