Wednesday, June 22, 2011

Jaga Taman

Guna pengawal keselamatan cegah maksiat di taman

SEREMBAN 22 Jun - Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bercadang untuk menempatkan khidmat pengawal keselamatan khususnya di kawasan awam yang gelap dan sunyi di sekitar bandar ini dalam usaha membebaskan lokasi terbabit dari terus menjadi tumpuan remaja melakukan maksiat.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan perlu diteliti secara terperinci sebelum ia dapat dilaksanakan kelak.

"Kita mungkin menempatkan pengawal keselamatan ini di taman-taman termasuk kawasan awam seperti dataran di sekitar bandar ini termasuk kawasan yang didapati sebagai kawasan 'panas'.

"Apabila ia dilaksanakan, golongan remaja khususnya sudah pasti tidak akan berani untuk melakukan perbuatan maksiat dan pada masa sama kehadiran pengawal keselamatan ini juga akan menjamin keselamatan pengunjung termasuk kemudahan yang terdapat di kawasan tersebut," katanya di sini hari ini.

Jelas Abd. Halim, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam usaha menangani gejala sosial itu.

"Kita juga akan membuat operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa bersama JHEAINS untuk menahan mana-mana individu yang terlibat melakukan perbuatan tidak bermoral itu di kawasan awam.

"Kawasan awam ini merupakan kawasan untuk beriadah bukannya pusat untuk melakukan maksiat," tegasnya.

Tambah Abd. Halim, tindakan penguatkuasaan terhadap pasangan yang didapati berkelakuan tidak senonoh itu akan dikendalikan oleh jabatan tersebut.

"Anggota kami hanya akan membantu dalam melancarkan lagi operasi," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment