Tuesday, December 13, 2011

gempur dangdut

Gempur pusat dangdut, 46 ditahan ketika berhibur
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011
imigresen
TELUK INTAN - Seramai 45 warga asing dan seorang warga tempatan ditangkap apabila sekumpulan anggota dari Jabatan Imigresen menggempur sebuah pusat dangdut haram yang berselindung di sebalik operasi sebuah kedai makan di Kampung Banang, pada awal pagi semalam.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, tangkapan dibuat dalam Ops 6P yang dilaksanakan hasil daripada intipan dan maklumat orang ramai.

Menurut beliau, kedai makan berkenaan dipercayai menjadi tempat penduduk tempatan serta warga asing melepaskan gian, terutama pada waktu malam.

“Kita mendapat maklumat daripada kalangan penduduk tempatan yang tidak selesa melihat berlakunya kegiatan tidak bermoral dalam kawasan itu.

“Setelah maklumat dikumpulkan, kita telah menjalankan intipan sejak Oktober lalu sebelum membuat serbuan yang menghasilkan tangkapan 44 warga Indonesia, seorang warga Thailand dan seorang warga tempatan yang juga pemilik premis terbabit,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Operasi telah diketuai Khairul Anuar bersama Pegawai Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Ipoh dan telah melibatkan seramai 58 anggota dari Ibu Pejabat Imigresen Ipoh dan Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan.

Khairul Anuar memaklumkan, semua tahanan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemilik premis yang berusia 60 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 56 (1) (d) akta yang sama kerana disyaki memberi perlindungan kepada warga asing dan kini sedang ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Warga Indonesia yang ditahan, termasuk seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 41 tahun, disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tinggal dalam negara ini tanpa permit yang sah.

“Semua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Depot Tahanan Langkap untuk siasatan lanjut serta kita turut melakukan siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Manusia 2007,” katanya.

Menurut beliau, operasi berkenaan merupakan kesinambungan daripada Program 6P kelolaan kerajaan yang mahu Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

No comments:

Post a Comment