Enam remaja serumah ditahan Jaij
Anggota penguatkuasa Jaij menahan enam remaja dalam serbuan di rumah tumpangan di Minyak Beku, semalam.
BATU PAHAT - Enam  remaja ditahan dalam  serbuan di rumah tumpangan yang disewa di Minyak Beku di sini, oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, awal pagi semalam.

Operasi kira-kira jam 2 pagi itu, melibatkan empat remaja lelaki dan dua perempuan yang berumur 18 hingga 20 tahun, yang ditangkap  dalam satu bilik.

Timbalan Penguatkuasa, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, remaja berkenaan memberikan pelbagai alasan antaranya tidak dapat pulang ke Johor Bahru selepas berjalan-jalan di daerah ini akibat disamun menyebabkan mereka terpaksa tinggal sebilik kerana tidak cukup wang.        
        
Menurutnya, semua mereka juga tidak mempunyai kad pengenalan dan memberi pelbagai alasan sehingga menyukarkan proses jaminan.

“Pada awalnya, semua remaja terbabit enggan membuka pintu, memaksa pihak berkuasa menunggu kira-kira 10 minit di luar bilik berkenaan, sebelum kami  menyatakan akan memecahkan  pintu tersebut.

“Selepas pintu dibuka, kami dapati enam remaja terbabit berpakaian lengkap tetapi tetap bersalah kerana berada dalam keadaan mencurigakan berkurung dalam satu bilik dan bukan muhrim,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, semua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi sebelum dituntut  waris masing-masing.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

“Jika sabit kesalahan,  mereka berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lepih peka terhadap pergerakan anak terutamanya golongan remaja bagi mencegah mereka melakukan  perkara maksiat,” katanya.