Sunday, September 12, 2010

Mengurang Gejala Sosial

Setuju remaja kahwin awal

AKHIR-akhir ini masalah membuang bayi semakin menjadi-jadi. Kadang-kala saya merasa alangkah tidak bergunanya remaja Melayu masa kini (bukan semua). Saya amat malu dengan gaya hidup remaja masa kini. Ramai yang berani menconteng arang ke muka bangsa sendiri. Sedangkan merekalah yang bakal menjadi pemimpin akan datang.

Pada pandangan saya, masalah buang bayi berlaku kerana berleluasanya gambar-gambar lucah termasuk dalam telefon begitu mudah didapati. Apakah tidak ada cara untuk menyekatnya.

Saya amat terkejut apabila seorang rakan memberitahu bahawa dia mempunyai seorang anak remaja perempuan yang bisu ada menyimpan banyak gambar lucah dalam telefonnya sehingga dia menangis kerana terlalu terkejut melihat aksi-aksi yang teruk dan memalukan. Itu remaja yang bisu kalau yang tidak bisu apatah lagi.

Pergaulan bebas juga adalah punca utama remaja terjebak dengan zina. Sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah dan IPTA, nampaknya pergaulan bebas digalakkan oleh pihak sekolah melalui kumpulan study group, kem, kokurikulum dan sebagainya.

Ini menyebabkan remaja perempuan hilang rasa malu terhadap lelaki dan mudahlah terjadinya perbuatan zina.

Pada pandangan saya PLKN juga haruslah dikaji semula kerana ia melibatkan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan.

Adalah lebih baik PLKN diwajibkan kepada pelajar lelaki sahaja kerana dapat menyelamatkan pelajar perempuan daripada pergaulan bebas. Atau diasingkan sahaja antara pelajar lelaki dan perempuan. Pendapat saya PLKN juga dapat menimbulkan kebencian rakyat kepada pemimpin.

Bagi saya berkahwin muda bukanlah suatu halangan yang besar, jika mereka diberi bimbingan dan tunjuk ajar malah mereka akan menjadi lebih bersemangat untuk menjaga anak-anak mereka.

Saya juga pernah membuat kajian secara komuniti dan persendirian. Daripada apa yang saya perhatikan kebanyakan anak yang ibu bapanya berkahwin muda seawal 14 tahun, saya dapati lebih ramai anak mereka dapat memasuki IPTA, lebih cerdik, berakhlak, penyabar dan berdisiplin berbanding dengan ibu bapa yang berkahwin agak lewat.

Kesimpulannya saya amat bersetuju remaja berkahwin awal kerana ia dapat menyelamatkan anak-anak remaja daripada berzina dan mengelakkan lahirnya anak luar nikah.

FARIHA ISMAIL Kota Bharu, Kelantan

No comments:

Post a Comment