Saturday, December 18, 2010

Selingkar Kisah

Anak terbuang dianiaya

HATI saya amat tersentuh setiap kali membaca kisah anak-anak terbuang dan anak luar nikah. Sebabnya saya senasib dengan mereka.

"Namun bila isu buang bayi kembali terpapar di dada-dada akhbar saya cuba mencari sedikit kekuatan untuk menyelak kembali lembaran hitam yang sekian lama saya tutup rapat di sudut hati namun sakitnya masih berbisa hingga kini." Demikian cerita Mashaniza dalam e-mel panjangnya dan ketika kami berbual di telefon Selasa lalu.

"Saya dilahirkan akhir tahun 60-an. Ketika itu ibu bekerja penari di kelab malam berasal dari Pantai Timur. Nenek terpaksa tanggung malu besarkan saya. Kata nenek takkan dia nak bunuh saya pula bila ada orang tanya kenapa ibu cepat beranak sedangkan baru tiga bulan kahwin?

"Mengikut cerita, ada orang jadi pak sanggup sekadar mahu meletakkan namanya dalam surat beranak saya.

"Sebagai anak luar nikah, hidup saya terpinggir, membesar tanpa kasih sayang, tambahan pula tinggal bersama nenek serta lapan orang anaknya. Emak saudara saya bersama suami dan anak-anaknya tak berhenti-henta menghina saya termasuk dipukul. Nenek sentiasa menjadi pelindung saya.

"Hidup saya bertemankan air mata, caci maki anak haram jadah jadi nyanyian di telinga saya, di ludah perkara biasa. Saya dipanggil budak bodoh, dungu, jijik. Saya tak layak makan di meja, pernah saya makan lebihan kucing kerana amat lapar.

"Setelah melahirkan, ibu sambung kerja lama dengarnya beberapa tahun lepas itu dia kahwin. Kini ada tiga orang anak. Saya langsung tak wujud dalam hidupnya. Pernah saya ke rumahnya dengan nenek, saya diperkenalkan sebagai anak saudara kepada saudara suaminya. Ibu tak mengaku saya anaknya dan tak pernah mengaku dia janda apa lagi ada anak.

"Keadaan ini terbawa-bawa ke sekolah dan saya terpinggir, keseorangan duduk di belakang kelas, saya duduk dalam dunia saya sendiri. Saya jadi penakut, tak ada keyakinan diri dan tak pandai berkawan.

"Menjelang remaja saya mula memahami keadaan sebenar. Saya jadi bercelaru, murung dan suka menjauhi diri. Saya selalu perasan bila ada kawan berbisik sesama sendiri mengutuk saya. Akibatnya saya membenci diri . Pernah saya terfikir untuk membunuh diri.

"Keadaan saya mengundang simpati seorang guru. Potensi saya dibina oleh Cikgu Noraini Salim. Beliau sering mendekati, menegur dan berbual dengan saya, walaupun mulanya penerimaan saya sangat negatif. Sepatah tegur sepatah saya jawab. Biasanya saya membatu.

"Satu hari cikgu meminta saya bercakap di hadapan kelas, bercerita tentang aktiviti semasa cuti sekolah. Dengan suara terketar-ketar saya bercerita aktiviti palsu saya. Maklum saya hanya kuli tak bergaji di rumah. Cikgu minta kelas memberi tepukan. Saya dapat tepukan gemuruh.

"Terima kasih cikgu Noraini. Saya tak tahu di mana beliau sekarang. Itu titik permulaan perubahan dalam hidup saya. Prestasi pelajaran saya mula melonjak. Sekolah jadi dunia baru saya. Pagi saya ke sekolah balik petang, saya habiskan masa di perpustakaan. Cikgu lantik saya jadi pustakawan. Beliau belikan saya uniform.

"Tapi berlainan penerimaan keluarga. Paling saya tak tahan bila suami mak saudara saya kata, "orang menyundal aku pikul biawak. Tak lama lagi keluar seekor biawak". Ya Allah saya disamakan dengan biawak.

"Kekuatan saya hanya pada cikgu dan dua orang rakan baik saya Miah dan Ina. Mereka bukan setakat berkongsi makan dengan saya, malah sanggup menangis bersama saya.

"Ada seorang ustaz di sekolah saya yang ketika tu mengikuti kursus kaunseling menjadikan saya kajian kesnya. Ketika itu semangat dan cita-cita untuk berjaya dalam hidup semakin membara. Kata ustaz, kita yang menjadikan siapa kita. Itulah semangat yang saya genggam untuk meninggalkan kesengsaraan dan penderitaan hidup saya.

"Tujuan saya bercerita tentang masa lalu kerana penderitaan anak-anak senasib saya tidak tamat di situ saja, sebaliknya kenangan pahit akan mempengaruhi sepanjang hidupnya.

"Sakit dan derita menjadikan saya pendendam, pembenci, saya benci pada manusia jahat itu. Bencinya saya sampai ke tulang hitam. Namun perasaan itu saya tangani dengan wuduk, dan solat. Walaupun kini saya sudah bekerja (dengan bantuan guru-guru saya dapat sambung pelajaran hingga ke universiti) berkahwin serta mempunyai anak tapi saya amat takut dengan kesan dan gangguan emosi saya sekarang.

"Kini saya bersama ustazah yang saya anggap kakak, untuk membimbing dan mengubati hati yang koyak, mendamaikan rasa resah, meredakan dendam, membuang rasa benci, dan menghilangkan rasa sedih dengan mendekati Allah SWT.

"Kepada adik-adik dan anak-anak senasib saya, binalah hidup dengan baik. Anak-anak tidak bersalah, kenapa mesti dipikul beban dan dosa ibu bapanya. Mereka berhak hidup dan menentukan masa depan mereka.

"Kepada masyarakat, terimalah mereka sebagai manusia yang punya hati dan perasaan bukan sampah atau haiwan terbiar. Pada keluarga yang terlibat jika malu, berilah anak itu kepada orang yang memerlukan supaya dia dapat pembelaan sewajarnya."
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment