Wednesday, December 22, 2010

Tiada Siapa Kuasa Bertindak

Maksiat di bawah jambatan

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my

ANTARA pasangan remaja yang dilihat duduk berdua-duaan di taman permainan bawah jambatan Banting, baru-baru ini.

KUALA LANGAT 22 Dis. – Suasana sunyi di taman permainan bawah jambatan Banting di sini menjadikan tempat itu tumpuan pasangan remaja untuk memadu kasih.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, taman permainan itu menjadi persinggahan pasangan remaja untuk melakukan maksiat tidak mengira waktu termasuklah di siang hari.

Senario memalukan itu turut menyakitkan mata orang yang lalu lalang termasuk pemandu yang membuat pusingan untuk ke pekan Banting di kawasan tersebut.

Seorang pemandu, Hanafi Sulaiman, 45, berkata, kelakuan pasangan kekasih bermesra dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai tidak sepatutnya berlaku kerana kadang-kadang terdapat kanak-kanak bermain di kawasan itu.

Menurutnya, anaknya sendiri pernah bertanyakan perkara tersebut apabila melihat sepasang kekasih sedang berpelukan dan berciuman di bawah jambatan itu.

“Saya malu melihat pasangan kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang di situ.

“Pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang perlakuan maksiat,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Mohd. Fuad Salleh, 26, berkata, kawasan riadah di situ selalu dikunjungi pasangan kekasih kerana keadaannya yang agak sunyi.

“Saya lihat ada yang berpelukan ada juga yang tanpa segan silu menunjukkan kemesraan dan melakukan ‘adegan panas’ di khalayak ramai walaupun menyedari kawasan itu adalah tempat awam.

“Papan tanda larangan ada dipasang di situ tetapi semua itu tidak mampu menghalang mereka daripada terus melakukan perbuatan tidak senonoh, malah tidak menghormati orang lain yang datang ke situ.

“Setiap petang saya lalu di sini, pasti ada saja pasangan kekasih di sekitar kawasan ini, membuatkan saya rimas untuk lalu di sini,” tambahnya.

Bagi Mohd. Ali Bakar, 47, pula, kegiatan itu perlu dihentikan segera dan pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan sewajarnya agar gejala tersebut tidak berleluasa.

Katanya, perlakuan seperti itulah yang mengundang pelbagai kesan negatif termasuk gejala membuang bayi yang kerap dilaporkan oleh media akhir-akhir ini.

No comments:

Post a Comment