Thursday, November 25, 2010

Rogol

Pemuda ditahan rogol dua adik kandung

MERSING 25 Nov. - Seorang pemuda dari Felda Tenggaroh 5 dekat sini ditahan kelmarin kerana disyaki merogol dua adik kandungnya berumur 13 dan 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

Perbuatan terkutuk suspek yang berusia 24 tahun itu terbongkar apabila seorang lagi kakak mangsa ternampak suspek menarik adiknya yang berusia 13 tahun ke dalam bilik lalu merogol mangsa dalam kejadian terbaru pagi semalam.

Sejurus selepas kejadian itu, kakak mangsa memujuknya untuk membuat laporan polis walaupun pada awalnya dia enggan kerana telah diugut oleh suspek.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rashid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya telah menahan suspek.

Menurutnya, suspek yang bekerja di sebuah ladang di Kota Tinggi dipercayai merogol kedua-dua adiknya semasa ibu bapa mereka keluar bekerja.

"Berikutan laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Sungai Ambat, sepasukan pegawai dan anggota menjalankan gerakan memburu suspek yang cuba melarikan diri selepas mengetahui mangsa telah membuat laporan polis.

"Kami berjaya menahan suspek yang menumpang sebuah lori menuju ke arah Felda Tenggaroh 2 dipercayai untuk melarikan diri," katanya sambil memberitahu hasil ujian air kencing suspek turut didapati positif ganja.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 13 tahun telah dirogol sejak berumur 10 tahun, manakala kakaknya bermula awal tahun ini.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru semalam untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol," katanya.

No comments:

Post a Comment