Monday, November 22, 2010

Tegur


Tegur kerana sayang


DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR

INSIDEN mengorbankan nyawa tiga mat rempit di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Kampung Bukit Guntong, Terengganu yang belum dibuka pada 17 November lalu seharusnya menginsafkan dan membuka mata pelbagai pihak untuk menangani perkara ini.

Kemalangan ngeri yang berlaku pada waktu hampir maghrib itu sepatutnya menjadi pengajaran buat semua.

Tambahan ia berlaku ketika umat Islam masih merayakan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban.

Mengapa harus kita biarkan anak-anak muda ini terkorban disebabkan oleh aktiviti tidak berfaedah? Aktiviti sebegini amat merugikan ketika mana negara memerlukan modal insan yang cemerlang untuk membangun negara mencapai hasrat negara maju.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (al-Baqarah: 195)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor bagi mengupas isu ini.

MEGA: Seringkali teguran ibu bapa, golongan dewasa terhadap anak-anak terutama yang remaja dianggap sebagai ancaman dan menyekat hak asasi mereka. Walhal teguran itu dibuat kerana mereka sayang kepada para remaja. Mengapa teguran begini perlu untuk mereka?

DR. ROSLAN: Remaja adalah golongan yang perlu dibimbing untuk membentuk insan yang mulia. Seterusnya mewujudkan masyarakat yang sempurna dalam sesebuah negara. Sebab itu kita selalu mendengar ungkapan “pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara”.

Mereka adalah tulang belakang pembangunan negara. Sebab itu Islam turut melihat kepentingan membangunkan muda mudi yang ada. Dalam al-Quran terdapat ayat yang dengan jelas menunjukkan pengiktirafan kepada golongan muda iaitu firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka adalah golongan muda yang beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambahkan kepada mereka hidayat. (al-Kahfi: 13)

Remaja tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa dibentuk akhlak dan tingkah laku. Mereka perlu dipandu bagi membentuk sahsiah yang baik.

Remaja bukan lagi kanak-kanak. Mereka sudah ada rangkaian kawan-kawan yang boleh mempengaruhi kehidupan.

Jika baik pengaruh yang diterima, maka baiklah kesannya kepada semua. Sebaliknya, jika mereka menerima pengaruh yang negatif, dikhuatiri ia akan memudaratkan diri dan menjadikan manusia lain di dalam keadaan yang mudarat.

Dalam musim cuti sekolah ini lagi ibu bapa bimbang. Apa tidaknya motosikal di rumah mungkin digunakan untuk merempit. Sebabnya, bagi remaja terlibat merempit ini dianggap kebanggaan dan kemajuan. Apa alternatifnya?

DR. ROSLAN: Di negara-negara maju, terdapat banyak juga motosikal, namun mereka tidak pula terdedah dengan rempit. Di mana lebihnya remaja Malaysia ini sehingga sanggup menunggang motor secara meniarap, berlumba dan berlanggar sesama sendiri?

Para remaja perlu dididik dan disedarkan bahawa Islam tidak menerima mereka yang mendatangkan kemudaratan kepada diri apatah lagi menyertai sesuatu aktiviti yang mengancam nyawa sendiri tanpa sebab. Ia sebagai mana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 195 di atas.

Untuk itu, saya berpandangan bahawa peranan ibu bapa, guru, pemimpin dan institusi-institusi kerajaan dalam mendidik anak ini perlu diperkasa. Berilah didikan dan nasihat yang berguna kepada mereka seperti Luqman al-Hakim menasihati anaknya.

Mungkin ada di kalangan remaja yang merasakan pendidikan sekolah tidak penting, lalu mereka yang tidak mengambil berat tentang persekolahan terlibat dengan rempit.

Alangkah baik jika anak-anak remaja ini diberi pendidikan sempurna dalam segi agama dan diberi pendidikan berbentuk kemahiran. Ini supaya mereka boleh mengisi masa lapang dengan kerja-kerja berfaedah.

Di samping itu, pendidikan kesedaran terhadap bahaya rempit perlu didedahkan kepada golongan remaja.

Pasukan keselamatan seperti polis boleh mengambil pendekatan dengan turun memberi penerangan di setiap sekolah menengah tentang bahaya rempit.

Balai-balai polis yang ada boleh memainkan peranan ini supaya bukan sahaja mereka ini bekerja untuk menguatkuasakan undang-undang kesalahan rempit, tetapi turut mementingkan kaedah mendidik kepada masyarakat terutama golongan remaja ini.

Penglibatan golongan para pengamal perubatan, pencari dan penyelamat juga boleh memberi gambaran bahawa kegiatan rempit ini memang serius dan perlu ditangani.

Malah boleh juga dilibatkan badan-badan bukan kerajaan juga bagi membantu usaha ini. Pasti di sana ada pihak-pihak yang simpati dan ingin bersama mencari kaedah terbaik dalam menangani gejala ini.

Semua ini adalah kerjasama yang amat dituntut dalam Islam sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan sekali-kali kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang membawa kepada perseteruan.... (al-Maidah: 2)

No comments:

Post a Comment