Sunday, November 6, 2011

pelajar samseng

Jadi mangsa pelajar samseng
Oleh : NOR FARHANA YAACOB
Tarikh : November 6, 2011
kena pukul
SUNGAI RAMBAI – Niatnya mahu menyelamatkan seorang guru yang ditumbuk seorang pelajar lain. Bagaimanapun, tindakan beraninya itu mengundang padah apabila dia mengalami kecederaan serius di bahu.

Itu yang berlaku terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di sini apabila tulang sendi bahunya tersisih selepas tangannya dipusing oleh seorang pelajar yang sedang menyerang seorang guru.

Dalam kejadian 21 Oktober lalu, Muhammad Izzuddin Ramli, 17, terpaksa dimasukkan ke Hospital Muar selama dua hari dan masih tidak bersekolah sehingga kini selepas diberikan cuti sakit dua minggu.

Menurut Muhammad Izzuddin, kejadian berlaku apabila beberapa pelajar Tingkatan Lima bertindak samseng menyerang beberapa guru sekolah selepas mereka ditegur kerana memakai subang telinga.

Menurutnya, ketika itu, dia ternampak seorang pelajar lelaki menumbuk guru sebelum dia bertindak untuk meleraikannya.

“Guru terbabit menegur seorang pelajar lelaki kerana memakai subang di sekolah. Tiba-tiba pelajar itu menumbuk cikgu menyebabkan saya segera menghampirinya untuk membantu cikgu berkenaan.

"Tetapi, pelajar itu terus menarik tangan saya dan memusingnya sehingga cedera," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Menurut Muhammad Izzuddin, kejadian guru diserang bukan kejadian baru kerana sebelum ini pun banyak kali berlaku kejadian serupa. sama.

Sementara itu, bapa Muhammad Izzuddin, Ramli Adan, 43, berkata, dia kesal dengan pengurusan sekolah terbabit kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar samseng itu, sedangkan kejadian guru diserang bukan kali pertama berlaku.

"Bukan niat untuk memburukan mana-mana pihak, namun saya kecewa dan sedih kerana insiden yang berlaku seolah-olah disembunyikan. Sepatutnya pelajar berkenaan perlu diambil tindakan setimpal supaya gejala gangsterisme seperti ini tidak terus menular di sekolah," katanya.

Menurut Ramli, dia juga bimbang kerana anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 14 November ini menghadapi kesukaran untuk menulis akibat kecederaan berkenaan.

Lebih membimbangkan, katanya, doktor merawat anaknya memaklumkan tangan anaknya mungkin akan menjadi lebih teruk.

Berikutan itu, katanya, dia tidak teragak-agak untuk memanjangkan insiden itu kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran tidak lama lagi untuk memastikan masalah gangsterisme di sekolah dibendung.

“Saya juga sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman kepada beberapa pihak akibat kecederaan dialami anak saya ini.

"Saya tak mahu pelajar lain menerima nasib sama seperti anak saya yang mungkin akan mengalami kecederaan kekal pada anggota badannya," katanya.

No comments:

Post a Comment