Friday, February 24, 2012

buat sarang maksiat dalam hutan

Sarang maksiat di hutan terbongkar


ANGGOTA penguat kuasa membakar pondok haram yang dipercayai menjadi tempat melakukan maksiat ketika mengadakan operasi bersepadu di Hutan Simpan Kenaboi sempadan Negeri Sembilan-Selangor, kelmarin. – UTUSAN/ABD RAZAK AID


JELEBU 24 Feb. – Jabatan Perhutanan negeri membongkar sebuah sarang maksiat dan perjudian hujung minggu sekumpulan pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam operasi bersepadu di Hutan Simpan Kenaboi di sini semalam.
Lebih mengejutkan kawasan di tengah rimba tebal itu yang boleh menampung 30 hingga 40 orang, kelihatan seperti ‘resort mini’ apabila turut dibina 14 pondok, tiga khemah besar, sebuah pentas termasuk kemudahan dapur dan tandas bagi kegunaan setiap kali berkunjung ke lokasi tersebut.
Kumpulan terbabit bukan sekadar beriadah atau berkelah di lokasi terbabit, malah turut disyaki menjalankan pelbagai aktiviti tidak bermoral termasuk meminum arak, melakukan hubungan seks, berjudi dan menembak menggunakan senjata api.
Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati kawasan terbabit mempunyai saluran paip yang disambung dari sungai berhampiran selain dilengkapi dengan kabel elektrik yang dijana menggunakan penjana kuasa.
Penolong Pengarah Sivil Kultur Jabatan Perhutanan negeri, Nor Zaidi Jusoh berkata, operasi bersepadu selama 11 jam bermula pukul 8 pagi itu membabitkan sepasukan anggota dan pengawai jabatannya, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Majlis Daerah Jelebu dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).
“Ketika serbuan, lokasi tersebut yang terletak kira-kira enam kilometer dari Kampung Chennah di sini tidak berpenghuni.
“Kami mengesyaki semua pondok dan kemudahan di sini dibina khas kumpulan terbabit untuk berpesta dan beriadah pada setiap hujung minggu sejak setahun lalu.
“Selain beriadah, kita juga percaya mereka melakukan aktiviti tidak bermoral berdasarkan penemuan kondom, tin minuman keras dan peralatan perjudian,” katanya di lokasi serbuan di sini semalam.
Jelasnya, aktiviti kumpulan itu terbongkar hasil maklumat dan risikan pihak polis serta aduan penduduk Orang Asli di kawasan terbabit.
Beliau percaya kumpulan terbabit turut membawa senjata api berdasarkan penemuan beberapa tin minuman keras yang berlubang dipercayai dijadikan sasaran untuk menembak.
“Kumpulan ini masuk ke kawasan hutan simpan ini secara haram dengan menaiki kenderaan 4WD dan mereka biasanya akan bermalam selama beberapa hari terutama pada hujung minggu.
“Selain masuk ke hutan ini tanpa permit mereka juga membina beberapa struktur secara haram di kawasan berdekatan sebatang anak sungai,” katanya.

No comments:

Post a Comment