Tuesday, February 15, 2011

Hotel Bajet

Lima pasangan ditahan berkhalwat


PASANGAN bukan muhrim disoal penguat kuasa ketika ditahan kerana berdua-duaan dalam bilik hotel di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 15 Feb. - Lima pasangan ditahan dalam Operasi Bersepadu Penutupan Pusat Hiburan dan Pencegahan Maksiat sempena malam Maulidur Rasul, di sini malam tadi.

Operasi dijalankan Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi dijalankan bagi mencegah kegiatan maksiat dan memastikan pusat hiburan ditutup pada malam sambutan Maulidur Rasul dengan tumpuan di sekitar pusat hiburan, hotel dan rumah tumpangan di pusat bandar dan Yong Peng.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd. Anuar Kosnin berkata, dua daripada pasangan tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melakukan persetubuhan luar nikah.

"Jika disabitkan kesalahan kedua-dua pasangan terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau lima kali sebatan atau ke semuanya," katanya di sini hari ini.

Mohd. Anuar berkata, dalam operasi berkenaan terdapat beberapa cubaan nekad untuk melarikan diri seperti terjun dari bangunan setinggi dua tingkat tetapi tidak berjaya.

Tambahnya turut ditahan, seorang warga Bangladesh bersama pasangannya warga Myanmar serta seorang penjawat awam.

Beliau memberitahu, semua pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 dan akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurut beliau, kegiatan maksiat semakin bertambah seiring pertambahan hotel dan juga rumah tumpangan di daerah ini dan pihaknya dibantu dengan penguatkuasa yang lain akan terus melakukan operasi secara berterusan.

"Jika dahulu dalam operasi seperti ini pasangan yang ditahan hanya didakwa kerana berkhalwat tetapi kini ada dalam kalangan mereka telah mengandung anak luar nikah.

"Masalah sedemikian perlu dibendung dengan segera dan pelbagai pihak mesti memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Anuar meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kegiatan maksiat ini agar menghubungi talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-4341141 .

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment