Tuesday, February 15, 2011

Polis

Maksiat: Anggota polis menggigil dicekup


Seorang lelaki membetulkan kancing seluar dan pasangannya terkejut dalam operasi maksiat di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 15 Feb. - Seorang anggota polis menggigil ketakutan ketika ditahan bersama pasangannya dalam operasi cegah maksiat di sini, malam tadi.

Sambil terketar-ketar, lelaki berusia 40-an itu bertindak membetulkan kancing seluarnya ketika disoal Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Adegan itu turut disaksikan pasangannya berusia 20-an yang juga seorang anggota polis dan bekerja di tempat sama.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, pasangan itu pada mulanya berkeras enggan keluar dari kereta yang dinaiki mereka.

Bagaimanapun, katanya, setelah dipujuk beberapa kali, mereka akhirnya keluar dari kenderaan tersebut.

"Ketika disoal, lelaki tersebut yang telah berkahwin mengaku berasmara bersama pasangannya ketika mereka berdua-duaan dalam kereta," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pasangan tersebut merupakan antara 23 pasangan diperiksa oleh kakitangan JHEAIPP sepanjang operasi selama empat jam bermula pukul 11 malam itu yang tertumpu di sekitar Padang Kota Lama, Queensbay, Bayan Mutiara dan Batu Maung.

Menurut beliau, satu lagi pasangan berusia 20-an yang mengaku telah bertunang pula memberi alasan sibuk bekerja menyebabkan mereka bertemu pada waktu malam bagi membincangkan persiapan perkahwinan serta melepaskan rindu.

Katanya, semasa ditahan di satu kawasan lapang dekat Seagate, Bayan Baru di sini pasangan lelakinya terus keluar dari kereta sambil merayu kepada pegawai JHEAIPP manakala teman wanitanya menutup badan dengan jaket.

"Turut ditahan dan diberi notis ialah seorang gadis yang berdua-duaan dengan pasangan lelaki bukan Islam di kawasan letak kereta Queensbay," katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga pasangan tersebut telah diberi notis kerana berkhalwat.

Katanya, dalam operasi tersebut, JHEAIPP turut memberi amaran dan merekodkan maklumat 12 individu lain manakala lapan pasangan pula diberi kata nasihat kerana berkelakuan kurang sopan.

Sementara itu, Khairul Azman memberitahu, pasangan yang diberi notis mengikut Seksyen 29 Enakmen Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 pula diminta hadir ke pejabat JHEAIPP dalam tempoh yang diberikan.

Katanya, kebanyakan yang diperiksa adalah muda-mudi berusia lingkungan 20-an hingga 40-an, antaranya pekerja kilang, penuntut institusi pengajian tinggi, berniaga sendiri dan juga penjawat awam.

Menurut beliau, operasi berkenaan bukan bertujuan mencari kesalahan tetapi lebih bersifat memantau lokasi-lokasi yang sering menjadi pasangan kekasih agar tidak berlaku perkara-perkara mungkar.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment