Tuesday, February 15, 2011

Runtuh

Rumah dipercayai pusat pelacuran runtuh


Beberapa orang anggota penguat kuasa melihat keadaan dalam sebuah rumah yang runtuh ketika operasi membanteras rumah pelacuran di Kampung Limau Manis, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. - utusan/Aizzul A. Majid

KOTA BHARU 15 Feb. - Sebuah rumah usang di Lorong Limau Manis di sini yang dipercayai menjadi pusat maksiat sejak puluhan tahun lalu, tiba-tiba runtuh di bahagian lantainya ketika diserbu penguat kuasa dalam operasi bersepadu malam tadi.

Runtuhan di tingkat satu rumah papan itu yang menempatkan beberapa bilik kecil menyebabkan seorang wanita yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pelacuran di situ cedera di kaki kiri.

Dia dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan.

Selain itu, beberapa anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi bersepadu itu turut tercedera akibat ditimpa serpihan kayu bagaimanapun tiada kecederaan serius.

Operasi pukul 10.30 malam itu diketuai oleh Ketua Unit Pembangunan Insan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MKPB-BRI) dengan bantuan 27 anggota MKPB-BRI, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Jaheaik).

Dalam serbuan itu, enam orang ditemui berada di dalam rumah tersebut iaitu seorang lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak.

Dua lagi lelaki ditahan kerana berada di luar rumah dengan seorang daripada mereka cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas.

Bagaimanapun, ketika serbuan tiada sebarang aktiviti pelacuran dikesan dan kedua-dua individu ditahan merupakan rakyat Malaysia berketurunan Siam.

Lorong Limau Manis terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah terkemuka di negeri ini terkenal dengan kegiatan maksiat yang dipercayai telah wujud sejak hampir 20 tahun lalu.

Kegiatan maksiat di kawasan itu dilaporkan di dalam sebuah blog baru-baru ini yang turut menggesa agar kerajaan negeri mengambil langkah segera membendungnya.

Dalam pada itu, Setiausaha MPKB-BRI, Mohd. Anis Hussin berkata, dua lelaki yang ditahan di luar rumah tersebut telah dibawa ke balai polis berdekatan untuk ujian air kencing manakala kesemua ditahan di dalam rumah telah dibebaskan.

Jelas beliau, operasi itu diadakan secara bersepadu untuk membuktikan ketegasan Kerajaan Pas Kelantan membanteras kegiatan maksiat yang berlaku di kawasan tersebut.

"Ini adalah permulaan operasi kita yang akan dilakukan secara berterusan kerana kita mahu semua pihak mengambil berat mengenai kegiatan haram seperti ini di negeri ini.

"Selepas ini banyak lagi operasi bersepadu akan dilakukan bukan setakat pencegahan maksiat tetapi premis-premis yang menjual arak dan pusat perjudian akan turut dihapuskan," tegas beliau.

Menurut beliau, operasi semalam merupakan yang kedua dijalankan dalam tempoh dua hari dan beberapa individu serta barang perjudian telah dirampas sebelum ini.

Ujarnya, dalam operasi malam kelmarin di tiga tempat berlainan, dua lelaki telah ditahan manakala 23 unit komputer dirampas dari sebuah premis Internet di Jalan Kelochor di sini kerana dipercayai digunakan untuk urusan perjudian.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment