Tuesday, October 11, 2011

kena bincang

Bincang isu seks dengan anak-anak

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

KAJIAN di Afrika Selatan menunjukkan, sebanyak lapan kes rogol berlaku pada setiap minit dengan melibatkan lebih ramai gadis bawah umur berbanding gadis dewasa.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mendapati sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur dilaporkan bagi tempoh lima tahun sejak 2005 hingga 2010.

Statistik itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

Pensyarah Fakulti Agama dan Teologi Universiti WaZuluNatal, Kampus Kolej Howard, Profesor Dr. Abul Fadl Mohsin Ebrahim melalui kajian lanjutannya di Afrika Selatan mendapati, perkara asas punca kes rogol berlaku adalah kerana kurangnya kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan mengenai seks.

Keadaan itu semakin kritikal dalam kalangan ibu bapa terutamanya yang di kawasan pedalaman. Sebabnya, ada ibu bapa yang salah faham terhadap keperluan pendidikan itu untuk didedahkan pada usia remaja.

Perubahan hormon yang berlaku ketika proses peralihan kanak-kanak untuk memasuki alam remaja akan merangsang keinginan kanak-kanak terhadap individu yang berlainan jantina.

Minat seksual itu juga membuatkan remaja cenderung mengetahui mengenai seks. Malah ada yang turut berkeinginan melakukan aktiviti tersebut.

Ini disebabkan oleh perubahan bentuk fizikal yang ketara berlaku pada masa itu.

Malangnya, topik perbicaraan mengenai isu itu didapati masih kurang terbuka dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya dalam institusi kecil iaitu keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak sendiri.

Sehinggakan terdapat sesetengah ibu bapa yang cuba mengalih topik perbicaraan yang dipersoalkan oleh anak mereka berkaitan dengan seks kerana malu untuk berkongsi pengetahuan mengenai topik yang agak sensitif itu.

Terdapat juga ibu bapa yang menolak berbicara bersama anak-anak mereka mengenai topik tersebut. Mereka berpendapat belum tiba masa yang sesuai untuk anak-anak mengetahui perkara berkenaan yang dikatakan merupakan topik orang dewasa.

Dr. Abul Fadl berkata, masalah itu boleh mengundang kemudaratan terhadap anak mereka sendiri.

"Anak-anak akan cuba untuk memecah kebuntuan mereka dengan cara tersendiri. Perasaan ingin tahu yang meronta-ronta membuatkan ada segelintir mereka yang akan mencari keinginan itu sendiri dengan pelbagai cara tanpa bimbingan sesiapa," katanya.

Tambahnya, situasi inilah selalunya akan membinasakan remaja itu sendiri jika tersalah pendekatan pemahaman sehingga mendorong mereka untuk terjebak dalam gejala yang kurang sihat.

"Seks bebas, kehamilan anak luar nikah, pembuangan bayi dan pelbagai kes seks dilaporkan setiap hari.

"Ini akan menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit seperti AIDS, HiV dan penyakit kelamin terhadap remaja yang melakukan aktiviti yang diharamkan oleh setiap agama," katanya.

Justeru, pendedahan mengenai pendidikan seks amat penting khususnya kepada remaja yang kian meningkat dewasa bagi meredakan godaan dan dorongan mereka terhadap perbuatan tidak sihat itu.

Pengetahuan seks ini secara tidak langsung dapat menjadi benteng kepada remaja serta mengelakkan perbuatan tidak bermoral itu berlaku.

Dalam Islam sendiri mengambil berat mengenai pengetahuan seks. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Perintahkan anak-anak kalian mengerjakan solat apabila berusia 7 tahun dan pukullah mereka sekiranya meninggalkannya apabila berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka". (riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Oleh itu, ibu bapa khususnya beragama Islam perlu memberi penekanan terhadap anak-anak mereka dalam mendedahkan pengetahuan seks apabila mencecah akil baligh.

Bagaimanapun, ia perlu diberikan secara berperingkat mengikut perkembangan mereka bagi mengelakkan salah penerimaan yang boleh mengganggu tahap pemikiran kanak-kanak dan mengundang perkara buruk yang lain.

Pendapat tersebut turut disokong oleh ilmu sains moden kerana pada masa itu kanak-kanak semakin menghampiri kematangan seksual dan perkembangan organ pembiakan.

Dengan pengetahuan pendidikan seks dapat mengelakkan mereka terlibat dalam gejala seks tidak sihat.

Dr. Abul Fadl berkata demikian dalam ceramah beliau bertajuk Seks Kesihatan dan Nilai Islam; Etika dan Undang-undang di Institut Pendidikan Islam Antarabangsa (IAIS) anjuran IAIS, di Petaling Jaya, Selangor baru baru ini.

Program turut dihadiri oleh Pengerusi IAIS, Profesor Mohammad Hashim Kamali dan Timbalan Pegawai Eksekutif IAIS, Profesor Datuk Dr. Osman Bakar.

Kira-kira 50 peserta terdiri daripada ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pelajar menghadiri pembentangan kertas kerja kajian itu.

Program akan diteruskan dengan ceramah mengenai Islam dan Etika Persekitaran, forum antarabangsa bertajuk 'Keamanan dan Keselamatan dalam perspektif Islam' dan perhimpunan antarabangsa membincangkan mengenai Islam dan Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Dr. Osman berkata, pembentangan topik itu adalah untuk mendedahkan dan berkongsi maklumat kepada peserta mengenai hasil kajian mengenai kesihatan seks dan nilai dalam Islam.

"Pembentangan ini penting bagi membuka pemikiran masyarakat khususnya ibu bapa dalam mengetahui realiti sebenar yang berlaku terhadap anak-anak mereka pada masa ini.

"Kajian yang dijalankan oleh Dr. Abul Fadl boleh menjadi panduan dan rujukan dan boleh diamalkan di negara mengikut keperluan yang bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.

No comments:

Post a Comment