Tuesday, October 18, 2011

tangkap bapa bayi

Siasat segera ibu, bapa pembunuh bayi

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta polis segera menyiasat kejadian pembunuhan kejam seorang bayi perempuan di Betong, Sarawak semalam bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu perbuatan jenayah yang amat kejam, tegasnya, sesiapa jua yang terbabit, sama ada wanita atau lelaki perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan pembelaan sewajarnya diberikan kepada keluarga terbabit yang terpaksa menanggung tekanan emosi akibat kejadian itu.

"Cuma saya terkilan bila ada kes seumpama ini, tumpuan hanya diberikan kepada wanita mengandung dan melahirkan bayi itu, sebaliknya di mana bapa atau lelaki atau pasangan rakan wanita ini.

"Saya minta polis melakukan siasatan secepat mungkin dan mencari siapa lelaki yang bertanggungjawab itu. Tidak kira siapa mereka, sama ada pelajar, ibu muda atau sesiapa jua perlu bertanggungjawab kerana telah melanggar undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ke -58 di Taska Permata Timang Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.

Semalam, seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya dan tikaman di perut sehingga terburai.

Bayi perempuan itu yang baru dilahirkan dan mayatnya ditemui di bilik asrama perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Layar, dekat Betong, Sarawak.

Shahrizat berkata, kejadian menyayat hati itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah mencemarkan nama ibu bapa lain yang menyayangi dan membelai dengan penuh kasih sayang anak-anak mereka.

"Saya terkilan apabila ada kes seumpama ini, seolah-olah menggambarkan semua keluarga di negara ini mempunyai sifat tidak baik," katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Kanak-Kanak pada Sabtu ini, Shahrizat berkata, kebajikan untuk kanak-kanak menjadi fokus utama di bawah program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) termasuk membela golongan itu daripada menjadi mangsa keganasan dan penganiayaan.

"Kita mahu semua anggota masyarakat terlibat sama, demi kebajikan kanak-kanak tanpa dipertanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan.

"Saya tidak mahu kanak-kanak teraniaya, mereka perlu diberikan sepenuh kasih sayang dan dijaga sebaik-baiknya kerana anak-anak diibaratkan seperti kain putih untuk kita mencorakkannya," katanya.

No comments:

Post a Comment