Friday, March 23, 2012

ibunya tak restu

Saya tidak akan restui mereka – Nor Mala

KUANTAN 22 Mac – Ibu kepada Siti Nur Fatihah Mahadi menegaskan bahawa dia tidak akan merestui hubungan antara anaknya dan lelaki yang menyebabkan pelajar tingkatan tiga itu melarikan diri daripada rumah, baru-baru ini.

Nor Mala Mohd. Lazin, 34, berkata, walaupun telah memaafkan Siti Nur Fatihah, 15, dia tidak akan merestui mereka kerana jika lelaki itu ikhlas, dia tidak akan melarikan anaknya itu.

“Kalau lelaki itu benar-benar ikhlas mahu berkawan, dia sepatutnya tidak menyembunyikan Siti Nur Fatihah tetapi menghantar pulang anak saya.

“Malah, dia yang juga anggota polis sepatutnya boleh berfikir yang mana betul dan salah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lalu, Siti Nur Fatihah dikatakan diculik oleh tiga individu termasuk seorang wanita ketika keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini.

Gadis itu bagaimanapun ditemui selepas polis menahan seorang lelaki berusia 20-an di Kampung Merchong, Pekan, kira-kira 120 kilometer dari sini pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Namun, semua persoalan akhirnya terjawab apabila Siti Nur Fatihah mengaku melarikan diri dari rumah secara sukarela kerana mahu menenangkan fikiran akibat tekanan.

Nor Mala memberitahu, dia memaafkan tindakan anaknya itu walaupun telah mencemarkan nama baik keluarga berikutan kisah pelajar berkenaan yang mendapat liputan meluas media.

“Biarpun kejadian ini sedikit sebanyak menjejaskan nama baik keluarga, saya tetap memaafkan dia.

“Siti Nur Fatihah masih muda dan berharap apa yang berlaku ini menjadi iktibar dan pengajaran malah kami sekeluarga amat menyayanginya,” kata Nor Mala lagi.

Katanya, dia faham Siti Nur Fatihah memerlukan ruang untuk ketenangan diri dan masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

“Justeru itu, keluarga kami juga tidak mahu lagi memperbesarkan isu ini dan akan menyelesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap anggota polis yang terbabit dalam kes tersebut.

“Ini bukan kes culik tetapi dengan rela hati melarikan diri ke rumah teman lelakinya.

“Namun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment